BREAKING NEWS

Thursday, 28 July 2016

Adakan Sidang Tergempar Dewan Undangan Negeri Bincang Pilihan Raya Mengejut – Farid



BALIK PULAU,  – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Mohd Farid Saad mempersoalkan sikap berdiam diri dalam kalangan ADUN Pakatan Harapan mengenai cadangan diadakan pilihan raya mengejut di negeri ini.

Beliau berkata isu itu bukan hanya membabitkan anggota dan ADUN DAP sahaja tetapi seluruh negeri dan ADUN lain termasuk daripada Barisan Nasional (BN).

“Dapat dilihat bahawa hanya DAP satu-satunya parti yang memperjuangkan idea mengadakan pilihan raya mengejut manakala PKR tidak yakin dengan idea itu. Saya menggesa Ketua Menteri Lim Guan Eng mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri untuk membincangkan perkara itu untuk melihat jika majoriti bersetuju diadakan pilihan raya mengejut atau tidak,” katanya.

Farid juga berkata jika DAP berkeras untuk mengadakan pilihan raya mengejut, kesemua 19 ADUN parti itu perlu meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Dalam pilihan raya umum pada 2013, Pakatan Rakyat memenangi 30 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri iaitu 19 daripada DAP, 10 daripada PKR dan satu daripada PAS.

Bagaimanapun, PAS pada tahun lepas keluar daripada Pakatan Rakyat susulan pertikaian dengan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, dan tidak lama selepas itu, Pakatan Harapan diwujudkan yang dianggotai Parti Amanah Negara, parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas anggota PAS, bersama-sama DAP dan PKR.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengumumkan parti itu akan bertanding di semua kerusi di Pulau Pinang sekiranya pilihan raya mengejut diadakan.

Malam tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selepas mempengerusikan mesyuarat parti di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara itu, berkata PKR masih belum yakin dengan cadangan untuk mengadakan pilihan raya mengejut dan perlukan lebih banyak masa untuk mempertimbangkannya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.