BREAKING NEWS

Thursday, 21 July 2016

ADUN BN tidak dipanggil mesyuarat khas



Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional tidak mendapat jemputan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ke mesyuarat tergempar diadakan kerajaan DAP itu.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang DUN negeri, Datuk Jahara Hamid berkata mereka sudah bersedia dengan semua kemungkinan sekiranya DUN dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya awal diadakan.

“Kita masih menunggu keputusan mesyuarat berkenaan dan kita difahamkan ia mempunyai kaitan dengan isu pembubaran DUN. Masih terlalu awal untuk kita membuat kenyataan dan kita tunggu apa yang diputuskan nanti.

“Bagaimanapun, kita bersedia dan sudah membuat persiapan sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk membubarkan DUN,” katany pada Rabu mengulas mengenai mesyuarat tersebut.

Sementara itu, ADUN Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, pihaknya percaya Kerajaan DAP Pulau Pinang akan berusaha untuk memohon pembubaran DUN walaupun perkara itu tidak dipersetujui segelintir wakil rakyat kerajaan negeri terutama di kalangan ADUN PKR.

“Kita difahamkan ia belum dimuktamadkan dan kini ia sekitar 50 peratus. Justeru, kita masih menunggu keputusan mesyuarat berkenaan.

“Apa yang pasti pembubaran DUN bukan langkah bijak untuk membuktikan sokongan rakyat terhadap Lim Guan Eng, sama ada berlaku atau tidak PRN, kes beliau tetap akan berjalan di mahkamah. Sepatutnya beliau melepaskan jawatan berkenaan dan bukan mengheret rakyat dalam isu ini,” katanya
 
Copyright © 2014 PenangKini.