BREAKING NEWS

Wednesday, 20 July 2016

DAP berdepan masalah dengan Guan Eng, bukan CEC


Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abd Rahim menyifatkan DAP perlu menyelesaikan masalah berhubungkait intergriti Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng terlebih dahulu sebelum kononnya menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu.

Menurut Norliza DAP sepatutnya memikirkan kesesuaian Guan Eng menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana masih terpalit dengan isu skandal rasuah melibatkan dirinya secara peribadi.

“Takkan DAP tak ada calon-calon lain untuk ganti jawatan-jawatan yang dipegang oleh Guan Eng. DAP harus selesaikan masalah Guan Eng terlebih dahulu dari memikirkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU14),” katanya.

Malah katanya tindakan beliau untuk mengadakan Majlis Eksekutif Pusat Parti (CEC) tiada kaitan dengan kepimpinan DAP berikutan masalah sebenar adalah dirinya sendiri.

“Bagi kenyataan yang menyebut kata nak buat CEC untuk Pulau Pinang saya rasa kenapa kita nak bazir duit untuk adakannya, sedangkan masalahnya yang sebenar adalah Guan Eng seorang sahaja,” kata Norliza kepada BNBBC.my portal pada Selasa.

DAP yang kini sedang berdepan isu integriti ekoran kes rasuah Guan Eng membuat keputusan menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu.

CEC yang sepatutnya melakukan pemilihan semula pada 29 September ini ditangguhkan atas alasan mahu memberi tumpuan kepada PRU14 akan datang.

Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke berkata perkara itu sebulat suara diputuskan oleh CEC pada mesyuaratnya malam tadi.

Perlembagaan parti membolehkan pemilihan dalaman itu ditangguhkan sehingga 18 bulan jika pilihanraya umum perlu dilaksanakan dalam masa dua tahun.

Loke berkata parti itu akan meneruskan konvensyen tahunan pada tahun ini iaitu pada 4 Disember.
 
Copyright © 2014 PenangKini.