BREAKING NEWS

Thursday, 28 July 2016

Guan Eng hilang kepercayaan majoriti ADUN Pulau Pinang


Lim Guan Eng sedang menghadapi krisis keyakinan dan kepercayaan terhadap dirinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas hanya 19 ADUN DAP menyokongnya daripada 40 ADUN di negeri tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata ini berdasarkan berdasarkan kiraan 21/40 orang ADUN tidak bersetuju dan hanya 19 orang lagi menyokong cadangan membubarkan DUN dan mengadakan Pilihanraya Negeri.

"Boleh dirumuskan Guan Eng sudah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli DUN Pulau Pinang, percubaan beliau untuk mengheret rakyat ke dalam masalah peribadi, dengan cadangan membubarkan DUN bagi mengadakan Pilihanraya Negeri telah ditolak.

"Berdasarkan perkembangan terkini ini beliau seharusnya mengambil tindakan bermaruah dan berintegriti melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dengan segera," katanya pagi Rabu.

Menurut Zainal Abidin, tindakan PKR seperti kata Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam bahawa parti itu belum diyakinkan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya negeri merupakan tamparan hebat kepada ego Guan Eng.

"Kegagalan Lim Guan Eng meyakinkan sekutu politiknya untuk menyokong cadangan beliau telah mencalar maruah dan kredibiliti beliau sebagai Setiausaha Agong DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang serta menghakis keyakinan dan hormat rakyat terhadap beliau sebagai seorang pemimpin utama pakatan parti pembangkang.

Jelasnya cadangan mengadakan pilihanraya pegeri adalah satu langkah tergesa-gesa dan terburu-buru yang dibuat oleh Lim Guan Eng dan DAP dalam keadaan panik setelah beliau dihadapkan ke Mahkamah kerana dua pertuduhan jenayah rasuah.

"Bersandarkan keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam, bermakna 10 ADUN PKR di DUN Pulau Pinang belum bersetuju dengan pembubaran segera DUN,PAS yang mempunyai seorang ADUN juga tidak bersetuju manakala 10 ADUN Barisan Nasional tidak menyokong cadangan tersebut.

"Oleh itu kita boleh menganggap hanya 18 orang ADUN DAP sahaja yang menyokong cadangan tersebut setakat ini.

"Berdasarkan kiraan Guan Eng seharusnya mengambil tindakan bermaruah dan berintegriti melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dengan segera," katanya.

Wan Azizah dalam kenyataan malam Selasa berkata keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR adalah tidak yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan pilihanraya mengejut.

Beliau yang juga ketua pembangkang berkata PKR akan menghantar satu delegasi pimpinan tertinggi untuk menerangkan keputusan parti itu kepada pimpinan DAP dalam masa terdekat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.