BREAKING NEWS

Monday, 18 July 2016

Kerajaan DAP P. Pinang tak serius : Jahara


18 JULAI : Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid menyifatkan kerajaan DAP tidak serius dalam memberi penjelasan mengenai rancangan membina jambatan ketiga walaupun berkali-kali didesak mendedahkan hasil kajian kebolehlaksanaan.

Jahara mempersoalkan cadangan jambatan ketiga yang dibuat oleh kerajaan DAP semasa sidang DUN lalu secara tiba-tiba dan meminta supaya mereka menjelaskan berhubung rancangan tersebut.

“Jika projek terowong dasar laut, mereka sudah kenalpasti syarikat dan kos, mengapa untuk pembinaan jambatan ketiga ini tiada sebarang penjelasan berhubungnya.

“Sehingga kini Ketua Menteri Lim Guan Eng juga masih tidak mengemukakan kertas kerja mengenai apa yang ingin dilaksanakan, ini dilihat mereka tidak serius terhadap apa yang ingin dilaksanakan,” katanya.

Jahara bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka anjurannya semalam.

Rakyat terutamanya mahu mengetahui perkembangan pelaksanaan projek itu, tegas Jahara.

Pada Jumaat, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan kerajaan negeri Pulau Pinang buat kali keempat untuk mengemukakan hasil kajian sedia ada dan dokumen mengenai cadangan jambatan ketiga Pulau Pinang sebelum Jumaat depan.

Fadilah berkata kajian sedia ada dan laporan yang telah tertangguh selama hampir dua bulan itu untuk memudahkan mesyuarat berikutnya diadakan antara agensi tersebut dan kerajaan negeri.-Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.