BREAKING NEWS

Sunday, 17 July 2016

Kerajaan P.Pinang digesa serah hasil kajian jambatan ketiga


16 JULAI : Kerajaan DAP Pulau Pinang sekali lagi digesa Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengemukakan kajian sedia ada dan dokumen cadangan jambatan ketiga sebelum Jumaat depan.

Fadillah berkata, kajian sedia dan laporan tersebut telah tertunda hampir dua bulan dan tempoh 7 hari diberikan untuk mereka menyerahkan hasil kajian tersebut.

“Bagi mengelakkan lagi penundaan, saya jangkakan kerajaan Pulau Pinang mengemukakan dokumen berkenaan dalam tempoh tujuh hari, selewat-lewatnya Jumaat depan, bagi memudahkan mesyuarat antara kita,” katanya dalam kenyataan.

Fadillah berkata, beliau sudah tiga kali meminta kerajaan Pulau Pinang mengemukakan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang serta tiga laluan berkaitan, kepada kementerian dan memberi keputusan menjelang pertemuan mereka.

“Bagaimanapun, tiga kali termasuk kenyataan hari ini (semalam), Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mengendahkan permintaan ini dan memberi alasan kajian kebolehlaksanaan yang baharu untuk jambatan itu akan lebih mahal dan mahukan satu kelulusan secara dasar terlebih dahulu,” katanya.

Fadillah berkata, beliau tidak pernah meminta kajian kebolehlaksanaan yang baharu daripada kerajaan negeri untuk cadangan jambatan ketiga itu.

“Saya tidak pasti mengapa berlaku kekeliruan – sama ada sengaja atau sebaliknya – antara laporan sedia ada dan baharu tetapi keadaan yang berterusan lebih dua bulan adalah tidak produktif untuk kedua-dua pihak.

“Tiada pihak berkuasa di dunia yang akan memberi kelulusan secara dasar untuk projek infrastruktur yang besar bernilai berbilion menerusi surat dua halaman yang dikirim kerajaan Pulau Pinang.

“Saya tidak pasti jika ini adalah amalan standard di Pulau Pinang tetapi ini tidak dilakukan di kementerian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminta Menteri Kerja Raya itu menetapkan tarikh pertemuan bagi membincangkan projek jambatan ketiga Pulau Pinang.

Permintaan itu dibuat menerusi permohonan surat kepada Fadillah yang bertajuk ‘Kelulusan Membina Jambatan Ketiga Pulau Pinang Menjelang Tahun 2027’ yang dimuat naik dalam laman sosial Facebooknya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.