BREAKING NEWS

Wednesday, 20 July 2016

Ketua Pembangkang: PKR Tolak Mahathir


Pemimpin kanan PKR menolak dakwaan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin de facto gabungan pembangkang yang baru.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberitahu Malaysiakini bahawa cadangan Tan itu juga tidak wajar dijawab.

“Saya tidak fikir ia perlu dijawab kerana setakat ini kami jelas menunggu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini kerana beliau (masih) ahli parlimen, bekas timbalan perdana menteri dan juga bekas timbalan presiden Umno,” kata ahli parlimen Lembah Pantai itu ketika ditemui di Menara DBKL 1 di Kuala Lumpur.

Muhyiddin sebelum ini berkata beliau sedang menimbangkan sama ada untuk menubuhkan sebuah platform politik baru atau menyertai parti politik yang sedia ada menjelang pilihan raya umum akan datang.

Nurul Izzah berkata, beliau menyambut baik rundingan bersama Dr Mahathir kerana ia menekankan kepentingan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan.

“Kritikan-kritikan remeh yang dilemparkan oleh ahli politik kecil-kecilan (Tan) tidak wajar mendapat jawapan,” katanya.

Seorang lagi naib presiden PKR, Tian Chua juga mempersendakan cadangan Tan itu.

“Kamu boleh petik saya, perlukah saya menurunkan standard untuk menjawapnya?

“Dia seorang badut, jadi saya tidak fikir sesiapa patut mengambil serius kenyataannya,” kata ahli parlimen Batu itu.

Tan, dalam satu kenyataan semalam, mendakwa bahawa pembentukan pakatan pembangkang baru oleh Mahathir sekali lagi akan membawa kepada pemecatan Anwar, kali ini sebagai pemimpin de facto pembangkang.

Beliau juga berkata, gabungan Mahathir dan juga pembentukan Gabungan Rakyat Saksama di Sarawak baru-baru ini adalah petanda jelas bahawa lebih ramai orang telah hilang kepercayaan terhadap Pakatan Harapan.

Bagi ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli, hanya terdapat seorang pemimpin pembangkang dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia dan jawatan itu kini dipegang oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kami tidak ada keperluan menggantikannya kerana beliau telah memainkan peranan dengan baik di Parlimen.

“Mana-mana kenyataan atau cadangan bahawa akan ada ketua pembangkang baru dengan pembentukan sebuah parti baru tidak seharusnya timbul dan kita tidak berminat untuk membincangkannya,” kata Hatta kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata Tan sengaja mencari masalah dengan kenyataan beliau.

Ketika mengalu-alukan cadangan Mahathir untuk menubuhkan parti baru atau gabungan, Kok berkata, ini tidak bermakna bahawa beliau akan menjadi pemimpin utamanya.

“Kita semua pemimpin. Kami percaya dalam kepimpinan kolektif.

“Kamu harus faham bahawa setakat ini partinya masih belum ditubuhkan,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.