BREAKING NEWS

Saturday, 16 July 2016

PERTIKAI KHUTBAH AIDILFITRI, PKR DIGESA AMBIL TINDAKAN TERHADAP DARELL


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengambil tindakan terhadap Naib Presidennya, Darell Leiking yang telah menghina Sultan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.



Pada sekitar 7 Julai lalu, Naib Presiden PKR itu dilaporkan telah memuat naik status menerusi akaun Facebook peribadi beliau, yang antara lain kandungannya mempertikaikan khutbah yang dikeluarkan oleh JAIS sempena Aidilfitri 6 Julai lalu yang ada menyentuh mengenai usaha mempertingkatkan serta memartabatkan institusi perundangan Syariah menerusi usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.



Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, paling mendukacitakan, Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang, Sabah itu mengaitkan kandungan khutbah tersebut seolah-olah satu satu permulaan Selangor kini diuruskan oleh golongan ekstremis.



“Itu adalah kenyataan yang sangat berniat jahat dan semborono yang jelas sekali menunjukkan kedangkalan ilmu, kecetekan budi bahasa serta kegagalan beliau dalam memahami isu sebenar mengenai perkara itu. Ini termasuklah beliau juga tidak peka serta memahami sensitiviti rakyat khususnya umat Islam di Malaysia,” kata Budiman melalui kenyataan yang dimuat naik di facebooknya hari ini.



Kata Budiman, umum mengetahui bahawa JAIS bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor dan perlaksanaan oleh pihak berkuasa yang dilantik itu adalah selaras dengan peruntukan dan bidang kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang merupakan Ketua Agama Negeri.



“Justeru, kenyataan dangkal serta salah fakta yang dibuat oleh Darell tersebut yang menyatakan negeri ini diuruskan oleh golongan ekstremis sudah tentunya akan terpalit kepada Sultan Selangor, sekali gus memperlihatkan beliau melemparkan suatu penghinaan

yang tidak berasas sama sekali terhadap Baginda Sultan selaku Ketua Agama Negeri.


Beliau berkata, rakyat sebenarnya telah mula muak dan jijik dengan sikap serta amalan politik keterlaluan yang cuba menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam yang hanya bertujuan untuk meraih sedikit perhatian dan populariti politik.



Darell Leiking-facebook



Katanya, amalan politik keterlaluan seumpama ini harus ditegah oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman, agama , kaum dan latar belakang demi keharmonian dan keutuhan kita bersama.



“Demi untuk mengelakkan perkara ini terus berulang lagi, saya mencabar PKR dengan segala kuasa yang mereka ada, supaya tidak hanya berpeluk tubuh dan mengandaikan tindakan Darell itu tidak membawa apa-apa makna atau kesan kepada masyarakat.



“Sebaliknya, PKR khususnya Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlulah dengan seberapa segera mengambil tindakan kepada Darell sebagai pengajaran dan panduan untuk masa mendatang.



“Sebagai Menteri Besar, adalah sangat tidak wajar untuk Mohamed Azmin membiarkan tindakan Darell itu. Saya memilih untuk bersetuju dengan tindakan JAIS yang difahamkan telah membuat laporan terhadap Darell mengenai isu tersebut hari ini demi menjaga kedudukan Islam di negeri ini,” katanya.- UTUSAN

 
Copyright © 2014 PenangKini.