BREAKING NEWS

Wednesday, 20 July 2016

Pilihanraya Mengejut Boleh Selamatkan Lim Guan Eng?


Lim Guan Eng dijangka memberi taklimat kepada pemimpin PKR malam ini mengenai kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan di negeri itu.

PKR dijadual mengadakan mesyuarat biro politik di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan mengesahkan bahawa Lim akan menghadiri mesyuarat itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, The Star Online yang juga melaporkan Lim akan menghadiri mesyuarat malam ini dan  mendakwa pemimpin PKR tidak berminat dengan pilihan raya mengejut.

“DAP perlu meyakinkan kami keperluan untuk berbuat demikian. Mereka perlu menunjukkan angka kepada kami,” kata seorang pemimpin tertinggi PKR yang dipetik akhbar itu.

Laporan itu juga mendakwa wakil enam anggota DAP yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin tertinggi telah bertemu dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam semalam berhubung perkara itu.

Menurut laporan itu, Wan Azizah juga tidak berminat pilihan raya diadakan dan pemimpin PKR dari Pulau Pinang diminta menghadiri mesyuarat untuk memberikan maklum balas mereka.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa jawatankuasa eksekutif pusat DAP membincangkan pilihanraya negeri semasa mesyuarat malam tadi dan memohon pandangan sekutunya mengenai perkara itu.

Pilihanraya negeri itu dilihat sebagai satu percubaan untuk mewujudkan semula kedudukan Lim memandangkan tuduhan rasuah terhadapnya.

Gabungan diketuai DAP telah berkuasa di Pulau Pinang sejak 2008 dengan Lim sebagai ketua menterinya. Berikutan pilihan raya negeri 2013, DAP memiliki 19 kerusi, PKR 10 kerusi dan PAS 1 kerusi. BN pula mempunyai 10 kerusi.

Penganalisis politik bersetuju bahawa jika pilihanraya negeri diadakan, Lim dan DAP boleh meraih undi simpati tetapi mempersoalkan jika ia adalah perkara betul.

Sementara itu, disoal wartawan di luar prosiding mahkamah di Kuala Lumpur, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata: “Insya-Allah, Lim akan hadiri mesyuarat itu.”
#LGExit #Dap #DapRasis #DapCauvinis #KerajaanDapPenang #PRN
 
Copyright © 2014 PenangKini.