BREAKING NEWS

Tuesday, 26 July 2016

PRN Pulau Pinang: Hadi bukan cakap kosong


GEORGETOWN - “Walaupun kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu nampak seperti berseloroh, tetapi saya percaya, Pas masih ada kekuatan di Pulau Pinang.

 Selorohnya itu bukan seloroh kosong, oleh itu, kita tetap ambil berat tentang isu Pilihan Raya Negeri (PRN) ini,” kata Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohamad Fauzi Yusoff susulan kenyataan presiden pas yang mahu letakkan calon jika PRN Pulau Pinang di adakan mengejut di negeri itu..

 Menurutnya, Pas Pulau Pinang kini bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berhubung PRN di Pulau Pinang yang semakin hangat diperkatakan dan pihaknya sudah mempunyai senarai pendek calon selain kawasan yang akan bertanding.

Sambil mengakui PRN bukan satu perkara mudah, beliau berkata, Pas negeri akan memberi saingan kepada semua pihak bagi memenangi seberapa banyak kerusi yang dipertandingkan. “Kita sudah bersedia dengan perkara asas pilihan raya malah saya sudah membawa maklumat tentang persediaan ini ke peringkat Pusat.

Kita juga sudah ada senarai pendek calon malah sudah meninjau kawasan mana yang hendak bertanding. Ahli Pas di negeri ini ramai yang layak (untuk bertanding). Sampai masa, kita akan turun padang, lawan habis-habisan. Kita tidak kira siapa musuh kita, yang penting, semangat bertanding.

 “Walau bagaimanapun, pendirian Pulau Pinang sama seperti Pusat. Kita tidak yakin akan ada PRN kerana ia bukan perkara mudah untuk dilaksanakan berikutan ia melibatkan banyak perkara antaranya pembahagian kerusi. Tambahan pula, persetujuan tidak ada Pakatan Harapan, PKR tidak setuju, Amanah pula tidak dipanggil untuk berbincang. Di sini, saya lihat DAP lupa mereka ada rakan dalam pakatan” katanya ketika dihubungi semalam.

Diminta untuk mengulas alasan yang diberikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi mengadakan PRN tergempar, Mohammad Fauzi berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan Guan Eng terhadap pentadbiran kerajaan negeri jika beliau dipenjarakan. “Kenapa nak bimbang? Dia bukan mentadbir kerajaan negeri sendirian, dia ada barisan Exco dan Adun. Jika dia tidak ada, dia ada dua timbalan. Jika masalah peribadi, saya tidak nampak ia akan menggugat pentadbiran kerajaan negeri.

Bagi saya, motif DAP untuk adakan PRN masih kabur. Saya tidak nampak apa yang dia buat ini untuk kepentingan rakyat. Mungkin juga untuk kepentingan peribadi atau keluarga, itu tidak dapat dipastikan.

 “Hanya Guan Eng dan DAP sahaja yang tahu. Saya pasti, mesti ada alasan lain. Isu PRN ini timbul selepas isu rasuah Guan Eng. Setiap yang dia buat, mesti ada tujuan. Mungkin ia juga salah satu untuk meraih simpati rakyat,” katanya.

 Ditanya sama ada Amanah akan memberi saingan sengit, Mohammad Fauzi berkata, semua parti dilihat bakal memberi saingan sengit kepada Pas negeri. “Bagi kita di negeri ini, siapa saja kita lawan. Tidak kiralah Amanah, DAP atau BN. BN yang besar pun kita lawan, takkan parti lain kita nak gelabah?

Kalah menang biasa lah, adat bertanding. Yang penting, kita lawan. Ini bukan masalah luar biasa. Semua orang pernah lalui perkara sama ,"katanya. Kelmarin,

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak yakin kerajaan negeri yang dipimpin DAP akan mengadakan PRN mengejut di negeri ini. Menurutnya, berdasarkan analisis dan maklumat, PRN tidak mungkin berlaku kerana tiadanya kesepakatan dalam kalangan kepimpinan DAP dan pakatan.-SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.