BREAKING NEWS

Thursday, 28 July 2016

SETIAKAH KITA PADA RAJA DAN NEGARA?


Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Demikian antara ucapan yang sering kita dengar, baik kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Samada lelaki atau wanita, muda mahupun tua, melafazkan ungkapan sama.

Namun, sejauh mana lafaz yang keluar daripada mulut itu selari dengan tindakan kita? Apakah kita benar-benar faham tentang prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara seperti yang terdapat di dalam Rukun Negara yang kedua?

Sedikit tentang sejarah terdahulu, bagaimana rasa kesetiaan rakyat  dizahirkan sepenuhnya untuk Raja, selepas mentaati Tuhan. Mana-mana pihak yang menghulurkan tengkuk dan melutut pada penjajah akan digelar sebagai pengkhianat tanahair serta tali barut.

Menyusuri era moden alaf 2000, masih wujud kumpulan kecil yang dilihat cukup gemar melutut dan merayu-rayu pada kuasa asing dalam berdepan sesuatu perkara. Tindakan ini sekaligus menidakkan prinsip kedua di dalam Rukun Negara.

'Hubhul Wathan Minal Iman' membawa maksud, mencintai tanahair itu sebahagian daripada iman. Ada yang menganggap ia hadis lemah namun menurut hadis riwayat at-Tirmidzi dan lainnya dengan nilai sahih mengatakan mereka yang  mati kerana mempertahankan hartanya adalah termasuk syahid, maksudnya syahid akhirat, yakni mendapat pahala sebagaimana orang yang mati syahid (fi sabiliLLAH).

Termasuk juga dalam riwayat itu orang yang mati kerana mempertahankan tanah air yang akan dirampas sebagaimana dalam perang kemerdekaan kita di masa yang lampau.

Lantas itu, kenapa perlu merayu dengan menarik kaki seluar kuasa asing supaya mencampuri hal dalaman negara? Melainkan terdapat agenda dan kepentingan tertentu.

Biarpun Malaysia tidak ada sebarang masalah diplomasi dengan mana-mana negara seluruh dunia melainkan Israel, namun tidak wujud apa-apa campur tangan asing sehinggalah hari ini.

Walaubagaimanapun,  rakyat  Malaysia tidak sewajarnya berasa selesa kerana kumpulan kecil yang sedang dan telah membawa kuasa asing ke dalam negara masih wujud dan bergerak aktif.

Setelah lebih lima tahun memperkatakan pelbagai jenis cerita berkaitan syarikat pelaburan strategik negara 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), 20 Julai 2016 menjadi kemuncak isu  apabila pihak Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mengumumkan tuntutan sivil ke atas beberapa penama rakyat Malaysia, sekaligus entiti kekayaan negara tersebut terbabit.

Firma yang banyak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia ini sememangnya sudah menjadi sasaran oleh beberapa pihak tertentu. Sebab itu tidak hairan apabila kisah berkaitan 1MDB sudah dicanang sejak lima tahun lalu dan dipolitikkan oleh mereka yang berkepentingan.

Setiap cabaran dan permasalahan 1MDB Berjaya ditangani dengan baik tanpa campurtangan asing. Sebaliknya, ia menjadi isu penting apabila dikatakan menyentuh soal kedaulatan negara.

Masyarakat yang peka dan prihatin sudah tentu dapat menghidu gerakan kuasa asing ini, termasuklah pemimpin nombor satu sebuah parti politik, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi ketika mengulas tentang isu ini secara tegas mengatakan negara tidak boleh mendedahkan ruang campur tangan negara asing. Kenyataan Abdul Hadi senada dengan Timbalan Mursyidul Am parti, Datuk Ahmad Yakob yang mengatakan parti mereka konsisten mengenai hal kedaulatan negara.

Sementara pemimpin muda negeri Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melahirkan keyakinan wujud konspirasi bermotifkan politik pada peringkat tertinggi untuk mencabar kedaulatan negara dalam isu berkenaan.

Peristiwa keghairahan Barat ‘menakluki’ Iraq atas tuduhan memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) sepatutnya dijadikan teladan. Dunia sedia maklum ia hanyalah alat untuk menjustifikasikan kerakusan Amerika Syarikat mengganyang Iraq seterusnya menguasai 'syurga' minyak. Maka itu tidak hairanlah jika modus operandi sama digunakan dalam kes yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.

Motif individu yang dikatakan membuat aduan kepada pihak DOJ juga menjadi tanda tanya. Apakah ia suatu misi Selamatkan Malaysia atau sebaliknya. Rakyat Malaysia sebenarnya sedar dan memahami individu berkenaan terbabit secara langsung dengan beberapa orang bekas pemimpin yang kecewa dalam persaingan politik dan telah lama lama merancang untuk menjatuhkan serta  memalukan kepimpinan negara.

Penulis berpendapat adalah tidak salah sekiranya tindakan pihak-pihak berkenaan dianggap sebagai usaha terdesak sebuah konspirasi terancang tahap tertinggi melibatkan elemen subversif dalam negara dan golongan berkepentingan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao sempat mengingatkan masyarakat Malaysia supaya tidak melupakan sikap durjana Barat mencampuri urustadbir kerajaan Iraq, Libya dan Mesir sehingga mengakibatkan ribuan umat manusia terkorban.

Sebagai penutup, penulis ingin mengajak pembaca bertanyakan dua soalan kepada diri sendiri ;

(i) “Apakah tindakan pihak-pihak tertentu tersebut tidak mendorong campurtangan asing secara langsung di masa akan datang?

(ii) “Apakah bentuk tindakan yang boleh dan perlu diambil oleh pihak berkuasa agar sebarang konflik kepentingan yang terjadi di kalangan rakyat tidak sampai kepada kita meminta pertolongan dan bantuan negara asing.”

Moga kita tidak menang sorak kampung tergadai.
 
Copyright © 2014 PenangKini.