BREAKING NEWS

Friday, 22 July 2016

Siapa Dalang Disebalik Saman Sivil Terhadap 1MDB?


PERMATANG PAUH, 22 Julai – Sejak beberapa hari ini sekali lagi negara digegarkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apatah lagi apabila saman sivil untuk merampas aset di Amerika Syarikat (AS) yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dialihkan dari 1MDB dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula telah mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti baru bersama gabungan pakatan harapan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, beliau melihat isu ini seakan ada agenda jahat yang tersembunyi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

“Apa yang menarik pada saya seolah-olah kedua-dua isu ini bersangkut-paut… adakah berkemungkinan wujudnya satu pakatan rahsia antara AS dan Tun Mahathir untuk menjatuhkan perdana menteri sedia ada?

“Ini tidak mustahil kerana memang sudah menjadi sikap pembangkang yang sanggup menghalalkan segala cara demi merampas tampuk pimpinan negara malah bukan suatu rahsia lagi pembangkang meminta campur tangan asing dalam permasalahan politik negara,”

Tambah Zaidi, walaupun AS tidak begitu menggemari Tun Mahathir kerana beliau mempunyai rekod menjadi pemimpin dunia Islam yang anti Amerika tetapi dek kerana terlalu terdesak untuk mencapai agenda peribadi maka tidak mustahil segalanya berubah.

Ini tegasnya telahpun terbukti apabila Tun Mahathir sanggup menelan muntahnya sendiri apabila duduk sepentas bersama pemimpin pembangkang khususnya Dap.

“Kerana itu bukan sesuatu yang mustahil sekiranya Tun sanggup menggadaikan maruah dan prinsipnya demi mendapat kerjasama dengan AS semata-mata ingin menjatuhkan Datuk Seri Najib.

“Tun perlu ingat bahawa beliau telah diangkat sebagai seorang negarawan dan pemimpin dunia Islam yang sangat disanjungi selama ini. Oleh itu saya berdoa semoga beliau tidak terpalit sama bersekongkol dengan AS untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Sejarah telah membuktikan ramai pemimpin besar yang awalnya berbaik dan bersahabat dengan AS akhirnya akan tumbang melalui perancangan AS sendiri seperti Saddam Hussin dan Muamar Gadafi…

“Kini yang menjadi persoalannya adalah siapa sebenarnya menjadi dalang di belakang AS yang begitu rakus ingin segera menjatuhkan Datuk Seri Najib sekaligus menukar pentadbiran negara,” tegasnya.

Untuk rekod kerajaan Malaysia telah memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan apa-apa penyiasatan yang sah daripada syarikat atau rakyat Malaysia mengikut protokol antarabangsa.

Pihak berkuasa Malaysia juga telah mendahului dalam siasatan ke atas 1MDB dengan syarikat itu menjadi tumpuan beberapa siasatan dalam negara termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) dan hasil selepas siasatan dan kajian menyeluruh, Peguam Negara mendapati tiada unsur jenayah dilakukan.

Sebelum ini Datuk Seri Najib juga pernah memberi jaminan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana salahlaku yang terbukti.

Sementara itu 1MDB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak memiliki aset di Amerika Syarikat dan tidak mempunyai sebarang manfaat daripada pelbagai transaksi dalam saman sivil yang didakwa difailkan Kerajaan Amerika Syarikat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.