BREAKING NEWS

Wednesday, 20 July 2016

Tiada sistem pengairan baik punca banjir di Teluk Bahang


Kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Teluk Bahang, dekat Balik Pulau adalah disebabkan keadaan Sungai Teluk Bahang tidak mempunyai sistem pengairan yang baik.

Anggota Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata di hulu
sungai berkenaan terdapat dua saluran yang menyebabkan sampah tersangkut sehingga air tidak dapat mengalir ke laut.

"Terdapat dua sungai di sini, satu Sungai Teluk Bahang yang mengalir terus ke empangan manakala Sungai Teluk Awak ini mengalir ke laut. Bila air pasang, ia tidak boleh mengalir ke laut, jadi itu yang melimpah ke kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penempatan
sementara mangsa banjir di Balai Rakyat Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Teluk Bahang dekat Balik Pulau

Beberapa kawasan rendah di Pulau Pinang termasuk Bayan Lepas, Batu Maung, Relau dan Teluk Bahang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dilanda banjir kilat  berikutan hujan lebat yang berterusan.

Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pihaknya akan memohon peruntukan daripada kerajaan negeri dan Pusat untuk membina jambatan di Sungai Teluk Bahang bagi menggantikan saluran air itu bagi membolehkan ia mengalir dengan baik.

Sementara itu, beliau berkata seramai lima keluarga ditempatkan di balai
rakyat tersebut manakala selebihnya menetap di rumah masing-masing kerana takut kehilangan barangan berharga di rumah.

"Esok kita akan bantu membersihkan kawasan rumah dan membantu keluarga yang memerlukan. Selepas itu kita akan bincang balik apa yang boleh kita bantu," katanya.

Lebih 300 keluarga di Kampung Nelayan, Kampung Teluk Awak dan Kampung Mukim 1 di Teluk Bahang terjejas dengan banjir kilat itu berikutan hujan lebat sejak tengah hari semalam.

Sementara itu, Sarina Sakir Tamby, 47, yang tinggal di penempatan sementara itu berkata hanya beliau dan dua anaknya sahaja menetap di situ manakala suami serta ibu mentuanya terpaksa menunggu di rumah kerana bimbang berlaku kecurian.

"Kalau kami semua duduk sini kami akan menangis kemudian sebab orang masuk rumah curi barang berharga. Jadi kami mengambil keputusan separuh tinggal di sini, separuh lagi menunggu di rumah," katanya.

Beliau berkata hujan lebat sejak pukul 1.30 tengah hari menyebabkan air naik sehingga paras pinggang mengakibatkan kesemua barang di rumah rosak.
 
Copyright © 2014 PenangKini.