BANGKOK: Sekolah Debsirin di Krungkasaem Road, Pomphrap di ibu kota Bangkok wujud sejak 131 tahun lalu selepas dibuka pada 15 Mac 1885 oleh Raja Siam ketika itu, Raja Rama V atau Raja Chulalongkorn.
Tergolong antara sekolah terulung di Thailand, jasanya terhadap negara itu adalah besar kerana ia melahirkan 5 perdana menteri dan lebih 70 menteri, selain pemimpin tentera serta pembesar negara yang lain.
Seorang daripada perdana menteri yang dilahirkan sekolah itu ialah perdana menteri Malaysia pertama dan bapa kemerdekaan negara almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Almarhum Tunku Abdul Rahman bersekolah di Sekolah Debsirin pada 1913 ketika berusia 10 tahun dan menghabiskan 2 tahun di sekolah itu sebelum pulang semula ke Kedah pada 1915,” kata Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof.
Beliau yang mengetuai delegasi PSMCK ke Bangkok baru-baru ini berkata, bapa kemerdekaan negara itu dihantar ke Sekolah Debsurin oleh bondanya, Che’ Menjalara yang merupakan anak perempuan kepada Luang Nara Borirak, pembesar di utara Siam.
Wan Shamsudin berkata, sepanjang persekolahannya di Bangkok, Almarhum Tunku tinggal bersama kakandanya Tunku Yusuf yang berkhidmat sebagai seorang pegawai kor artileri dalam tentera Siam.
Berikutan kemangkatan kakandanya pada 1915, Tunku kembali ke Kedah dan meneruskan persekolahannya di Penang Free School, katanya.
Ahli PSMCK Dr Mohd Kasri Saidon yang turut serta dalam kajian sejarah ke Bangkok itu berkata selain Tunku Abdul Rahman, kakandanya almarhum Tunku Yusuf turut mendapat pendidikan di Sekolah Debsirin itu.
“Almarhum Tunku Abdul Rahman terus diingati (oleh pentadbir sekolah sebagai bekas pelajar Sekolah Debsirin) dan menjadi lambang kejayaan dan kebanggaan bagi Sekolah Debsirin,” katanya.
Papan tanda memaparkan wajah bapa kemerdekaan negara itu masih terpampang di sekolah berkenaan pada hari ini untuk tatapan pelajarnya masa ini, sebagai lambang kemegahan sekolah elit itu.
Dr Kasri berkata, persekolahan almarhum Tunku Abdul Rahman dan kakandanya Tunku Yusuf di Sekolah Debsirin itu juga membuktikan hubungan rapat yang sedia terjalin di antara institusi Diraja Thailand dan institusi Diraja Kedah.
Laman web rasmi Sekolah Debsirin turut menyatakan kebanggaannya terhadap bapa kemerdekaan negara dengan menyatakan, “Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj almarhum Sultan Abdul Hamid Shah, perdana menteri Malaysia merupakan seorang daripada bekas pelajar kami yang terkenal”.
Pengarah Sekolah Debsirin, Anan Subwaree dalam sesi penerangannya kepada delegasi PSMCK berkata, sekolah amat berbangga kerana pernah menjadi tempat menimba ilmu bekas perdana menteri Malaysia yang pertama itu.
“Ia juga lambang hubungan yang sentiasa erat di antara Thailand dan Malaysia,” katanya dan menambah, akan menyumbang beberapa bahan bersejarah mengenai bapa kemerdekaan negara kepada pihak Muzium Negeri Kedah.
Dalam sepucuk surat kepada sekolah itu sempena sambutan ke-100 tahun penubuhannya pada 1985, almarhum Tunku Abdul Rahman melahirkan rasa bangganya terhadap pencapaian sekolah itu dan mahukan bekas pelajarnya turut berbangga dengan sekolah lama mereka itu.
“Mereka yang masih hidup hari ini mesti berbangga dengan sekolah lama mereka, seperti mana saya, pada ulang tahunnya ke-100. Berapa ramai rakan sekolah saya yang masih hidup hari ini saya tidak tahu, mungkin tidak ramai. Kehidupan saya di sana sebagai budak sekolah akan kekal sebagai memori yang sangat gembira,” kata almarhum Tunku.
Pada satu perenggan dalam suratnya itu, Tunku masih mengingati kegembiraan sepanjang 2 tahun bersekolah di Sekolah Debsirin.
“Ia kehidupan yang penuh dengan saat manis, kami ke sekolah pada 8 pagi dan balik pada 1 tengah hari. Dan kami bermain sepanjang petang. Saya mempunyai basikal dan bersama kawan baik saya Luang Travil Guparak kami selalu berbasikal di sekitar bandar,” katanya.