BREAKING NEWS

Thursday, 25 August 2016

Imigresen Serbu Kedai Makan Siam




NIBONG TEBAL - Seramai 18 warga Thailand termasuk seorang kanak-kanak lelaki ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam tiga serbuan Op Selera di sekitar kawasan Seberang Perai Selatan di sini, malam semalam.

Operasi yang bermula jam 8.30 malam itu menyerbu tiga buah restoran masakan Thailand di kawasan Taman Seruling Emas,Sungai Bakap, Taman Jawi Indah, Sungai Jawi dan Taman Panchor Indah, Nibong Tebal di sini.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang,Fairos Ismail berkata, operasi yang disertai 24 pegawai itu dilakukan hasil daripada maklumat orang awam dan intipan yang dilakukan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, dalam serbuan pertama yang dilakukan enam lelaki dan seorang wanita warga Thailand ditahan manakala di lokasi kedua empat lelaki dan seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga negara yang sama ditahan.

Sementara itu dalam serbuan ketiga, seorang lelaki dan empat wanita telah ditahan.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada pelayan dan tukang masak di ketiga-tiga restoran berkenaan.

"Hasil pemeriksaan didapati kebanyakan mereka tinggal di negara ini melebihi masa yang telah ditetapkan, melanggar syarat pas lawatan dan ada antara mereka langsung tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya kapada Sinar Harian.

Fairos berkata, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa pas yang sah, Seksyan 15 (1) (c) akta yang sama kerana tinggal melebihi masa dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JIPP di seberang Jaya untuk siasatan lanjut dan dokumentasi sebelum dihantar ke Depo Tahanan Warga Asing di Juru.
 
Copyright © 2014 PenangKini.