BREAKING NEWS

Friday, 26 August 2016

Indonesia, sila fikir perasaan Malaysia sebelum tukar nama Laut China Selatan


PETALING JAYA: Indonesia sepatutnya memikirkan perasaan negara jiran termasuk Malaysia apabila republik itu bercadang untuk menukar nama Laut China Selatan kepada Laut Natuna, kata Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Azmi Hassan.

Beliau berkata penukaran nama Laut China Selatan yang laluannya dikongsi kebanyakan negara Asean berkenaan juga tidak akan memberi sebarang kesan ekonomi kepada negara merah putih itu.
“Hanya jati diri rakyat Indonesia boleh dikatakan akan naik, itu saja. Maksudnya, kerajaan Indonesia mempertahankan kedaulatan mereka.

“Jadi, daripada segi ekonomi dan perundangan ia tidak akan membawa sebarang implikasi,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Semalam, Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman Luhut Binsar Panjaitan berkata cadangan mengubah nama Laut China Selatan itu dianggap tepat kerana wilayah perairan tersebut memang berada di sekitar Kepulauan Natuna.
Luhut berkata pada masa ini kerajaan Indonesia masih mengkaji cadangan perubahan nama itu dan ia bertujuan memperkukuhkan hak republik berkenaan ke atas perairan yang kerap dicerobohi kapal dan pesawat negara asing.

Azmi berkata, Indonesia tidak berhak untuk menukar nama perairan berkenaan kerana ia masih dalam perebutan dan pertindihan di beberapa negara.

“Indonesia tidak mempunyai hak langsung untuk menukar nama. Kalau pulau berkenaan sudah menjadi milik Indonesia dan mereka berhasrat mahu menukar nama, itu tidak mengapa.
“Tapi Natuna adalah sebahagian dan bersempadankan dengan Malaysia, jadi Indonesia tidak tidak boleh melakukan sedemikian,” katanya.

Indonesia mendakwa Laut China Selatan berada dalam wilayah perairan negaranya iaitu termasuk dalam 200 batu nautika zon ekonomi eksklusif di sekitar Kepulauan Natuna, di barat laut Kalimantan.
Pada Jun lepas, pihak berkuasa Indonesia menembak kapal nelayan dari China kerana memasuki kawasan perairan dekat Kepulauan Natuna dan tindakan itu dibantah China.

Seminggu selepas kejadian itu, Presiden Indonesia Joko Widodo membalas dengan mengadakan mesyuarat khas bersama beberapa menterinya di atas kapal perang milik Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia yang berlayar dan membuat rondaan sekitar kawasan perairan berkenaan.
Pada Julai lepas, Tribunal Timbang Tara berpangkalan di The Hague, Belanda menolak tuntutan China yang mendakwa mempunyai ‘hak sejarah’ ke atas gugusan pulau di Laut China Selatan.
Tribunal merumuskan tiada asas undang-undang bagi China untuk mendakwa hak sejarah di 9 titik garisan di kawasan laut berkenaan.


sumber FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.