BREAKING NEWS

Monday, 22 August 2016

Mahathir Bapa Perpecahan Malaysia




1. MELAYU pecah tiga. Eh! bukan tiga tetapi empat. Bukan empatlah, lima sebenarnya. Mahu tidak mahu itulah yang terpaksa orang Melayu akui selepas parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menyenaraikan Tun Dr. Mahathir Mohamad berusia 91 tahun sebagai pengerusi. Orang Melayu kini menjadi ‘minoriti’ kerana berpecah kepada lima walaupun mereka adalah 60 peratus warga negara ini. Hakikatnya, orang Melayu telah melalui siri episod yang sedih sejak sebelum merdeka lagi.

2. Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar agak masam hubungannya dengan Tunku Abdul Rahman apabila cuba membuka pintu parti kepada rakyat bukan Melayu, yang dibantah sebelum menubuhkan Parti Negara pada 1953.

3. Ustaz Ahmad Fuad Hassan merajuk apabila gagal mendapatkan sokongan untuk menjadi pemimpin UMNO menggantikan Tunku Abdul Rahman, lantas mewujudkan Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas) pada 1951.

4. Krisis Mahathir-Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 membawa pengharaman UMNO, yang diwujudkan UMNO baharu dan menyusul Parti Melayu Semangat 46 (S46).

5. Pertelagahan Anwar Ibrahim dan sekali lagi dengan Mahathir membawa kemunculan Parti Keadilan atau kini PKR (1998). Perbalahan puak-puak dalam Pas mengakibatkan terbitnya Parti Amanah Negara atau PAN (2015).

6. Orang Melayu asalnya ada 80 peratus kuasa undi. Selepas merdeka, diberi orang lain hak kerakyataan, Melayu hanya ada 60 peratus. Hari ini, orang Melayu (sebagai majoriti) terpaksa bergantung kepada orang lain untuk meluluskan apa-apa. Jangan disalahkan pemimpin terdahulu kerana kita tidak menyangka orang Melayu akan berpecah dan bermusuh sesama Melayu.

7. Siapa yang memecahbelahkan Melayu, sekali gus Malaysia hari ini? Apabila kerajaan mencari pendekatan terbaik untuk menangani masalah rakyat, Mahathir sibuk kerat sana sini orang Melayu. Perpecahan orang Melayu bukankah bermakna perpecahan Malaysia juga?

8. Kalaulah Mahathir benar-benar bersara dan tutup buku politik yang gemar sangat 'berlaga' dengan kawan dan lawan pada tahun 2002 atau 2003 lagi, alangkah indah dan manisnya penghormatan yang diterimanya hari ini.

9. Bukan kita tidak mahu dia masih berada dalam radar politik tanah air selama 13 tahun lagi (sehingga hari ini) sejak berundur sepenuhnya pada 2003. Tetapi yang kita harapkan setidak-tidaknya Mahathir, kalau masih mahu aktif dengan 'fikirannya yang amat bergeliga ini' dapatlah membantu mendamaikan negara tercinta.

10. Tidak sayangkah Mahathir kepada negara ini yang dikatakan '60 peratus' berdiri megah hari ini hasil 'idea dan susah payah memerah otak' dirinya. Tetapi setelah berundur dari jawatan PMnya, barulah rakyat Malaysia mengenali 'inilah wajah Mahathir sebenar'. Sikap tamak, rakus, keras, hati kering dan suka cari pasal (bergaduh) melekat bagaikan gam dalam diri Mahathir.

11. Dalam usia 91 tahun, sepatutnya isteri, anak-anak, cucu-cicit, piut menasihatinya supaya lebih kerap berada di atas sejadah atau tikar sembahyang. Namun agaknya mereka lebih 'mengenali' siapa suami, bapa atau datuk' mereka ini.

12. Perpecahan orang Melayu hari ni dikhuatiri tidak lagi menjamin suara dan kuasa majoriti orang Melayu itu dapat menjadi teras kekuatan pentadbiran - yang dahulunya diterajui orang Melayu. Apabila berpecah, dibimbangi pembangkang dan anasir asing akan menangguk di air keruh. Dan sebagai majoriti, mungkinkah orang Melayu terpaksa mengemis dan meminta-minta daripada pihak terbabit semata-mata sokongan yang kecil?

13. Malaysia terkenal kerana membangun pesat kerana kerajaan diketuai orang Melayu mempunyai kuasa dan impak hasil bersatu padu. Tetapi disebabkan 'tangan seorang' ini, Malaysia berkemungkinan akan hancur lebur jika individu ini tidak dikekang. Punca semua ini kerana Mahathir - yang mewujudkan juak-juak yang menyalahgunakan sistem demokrasi - yang sepatutnya menentukan kuasa dan membangunkan orang Melayu.


 
Copyright © 2014 PenangKini.