BREAKING NEWS

Sunday, 25 September 2016

Ahli Parlimen kamu dicuri Dr M, kata Rahman Dahlan kepada Azmin


PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan tertanya sama ada Azmin Ali tetap sudi bermesraan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Darell Leiking meninggalkan partinya.

Menteri Umno itu mengaju soalan itu selepas menuduh bekas perdana menteri itu “mencuri” Darell – Ahli Parlimen Penampang – di depan mata Azmin, timbalan presiden PKR.
“Mari kita tengok Azmin masih mahu bermesraan dengan Tun M walaupun Tun dan kumpulannya mencuri Ahli Parlimen partinya,” kata Rahman di Twitter.
Orang nombor dua PKR itu bersama pimpinan pembangkang lain menandatangani Deklarasi Rakyat pada Mac, inisiatif yang dipelopori Dr Mahathir untuk menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dr Mahathir kemudian menyertai blok pembangkang apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama bekas pemimpin Umno lain, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Sayang sekali. Ketika Azmin terpesona dengan permainan Tun, rakan Tun di Sabah perdaya PKR dan mencuri ahli Parlimen di depan matanya!” kata Rahman.

Shafie, yang meninggalkan Umno pada 4 Julai lalu, menyertai Jemaah Menteri Dr Mahathir sebagai timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 1999 dan kemudian sebagai timbalan menteri pertahanan.

Mahathir berundur sebagai perdana menteri pada 2003.
Shafie antara mereka yang memainkan peranan membawa Umno ke Sabah pada 90-an.
Rahman, yang juga Ahli Parlimen Kota Belud persoal adakah Presiden PKR Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menegur Azmin kerana “mudah diperdaya Tun M dan kumpulannya,” kerana beliau meramalkan lebih ramai wakil rakyat dan penyokong PKR dan Amanah akan berhijrah ke PPBM di masa hadapan.

“Kami tak kisah. Terima kasih Tun,” katanya.
Dua hari lalu, Darell meletak jawatan sebagai naib presiden dan meninggalkan PKR.
Menurut beliau, Wan Azizah maklum akan perkara itu dan menghormati keputusannya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.