BREAKING NEWS

Thursday, 29 September 2016

Guan Eng perlu bercuti supaya perbicaraan berjalan lancar - Zainal Abidin


UMNO Pulau Pinang pada Khamis mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk melepaskan jawatan atau 'bercuti' sehingga kes rasuah yang membabitkan dirinya selesa dibicarakan di Mahkamah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kegagalan Guan Eng melepaskan jawatan akan menyebabkan tekanan ke atas pegawai kerajaan negeri.

"Kenapa Ketua Menteri Pulau Pinang masih belum melepaskan jawatan atau ‘bercuti’ dari jawatan setelah didakwa dengan dua pertuduhan salah laku rasuah pada 30 Jun 2016 lalu?

"Tindakan Guan Eng (tidak mahu lepas jawatan) akan menyebabkan tekanan ke atas pegawai-pegawai kerajaan negeri yang berkemungkinan akan dipanggil sebagai saksi pihak pendakwaan bila bicara kes rasuah terhadap beliau dimulakan," katanya dalam satu kenyataan yang diterima Agendadaily

Menurut Zainal Abidin, sebagai seorang Ketua Menteri yang beretika dan bermaruah, Guan Eng perlu melepaskan jawatan atau 'bercuti' setelah menghadapi pertuduhan rasuah demi menjaga intergriti jawatan yang disandang.

"Seseorang pegawai kerajaan atau penjawat awam juga perlu  bercuti bila menghadapi pertuduhan yang serupa.

"Ternyata Guan Eng terlalu "sayang" untuk melepaskan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dipegangnya sekarang. Rakyat Pulau Pinang boleh menilai sendiri samada beliau adalah seorang yang gila jawatan dan gila kuasa atau tidak," katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata Guan Eng turut berhadapan dengan tindakan dikomitkan ke penjara kerana melakukan penghinaan mahkamah (prosiding komital) kerana mengeluarkan kenyataan yang menggugat pentadbiran keadilan, sistem kehakiman serta menghina maruah dan integriti sistem mahkamah.

“Tindakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian terhadap sistem Kehakiman dan Keadilan negara adalah perlakuan yang tidak wajar dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Ketua Menteri atau seorang Ketua Eksekutif Negeri.

"Satu perlakuan atau tindakan yang mencemarkan jawatan yang disandangnya," katanya.-AD
 
Copyright © 2014 PenangKini.