BREAKING NEWS

Wednesday, 21 September 2016

Isu Rumah Kos Sederhana Rendah Di P.Pinang : Guan Eng Bangunlah Dari Tidur, Jangan Kunci Mulut


BUKIT BENDERA, 20 Sept – Gambaran yang cuba dicipta kononnya kerajaan Dap Pulau Pinang memperjuangkan hak kaum bumiputera dengan menyediakan rumah mampu milik di The Rise Jalan S.P Chelliah akhirnya menjerat leher Dap sebagai pentadbir negeri.

Satu demi satu kepincangan dalam pengumuman yang dibuat Ketua Menteri Lim Guan Eng tentang pembinaan 320 rumah kos sederhana rendah (KSR) dapat dilihat dan dipertikaikan.

Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini terus mendesak agar Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan itu bangun dari tidur dan jangan terus mengamalkan sikap kunci mulut apabila merasakan diri sudah terjerat dengan permainan sendiri.

Jelas ketuanya Rafizal Abdul Rahim, Guan Eng perlu menjawab mengapa kerajaan negeri membeli rumah KSR dengan harga RM140,000 sedangkan harga siling yang ditetapkan adalah RM72,500.

“Adakah harga siling untuk rumah KSR di Pulau Pinang telah dinaikkan? Jika ya, bila ia dinaikkan dan jika tidak mengapa kerajaan negeri beli dengan harga yang mahal? Sepatutnya jika kerajaan negeri telah menggunakan wang dari tabung Akaun Amanah Perumahan Bumiputera, sepatutnya harga rumah tersebut menjadi lebih murah.

“Seperkara lagi, mengapa perlu kerajaan negeri menggunakan wang tabung bagi pembinaan rumah tersebut. Bukanlah pemaju sepatutnya menyediakannya… Guan Eng perlu menjawab semua persoalan ini dan bukan terus jadi patung cendana.

“Jangan ingat rakyat akan lupa bila dia terus berdiam diri,”

Tambah Rafizal, sekiranya kerajaan negeri telus di dalam pembelian rumah KSR ini maka bukalah pintu seluas-luasnya untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sekaligus membuktikan tiada berlakunya penyelewengan.

Guan Eng sebelum ini telah mengumumkan kerajaan negeri telah membeli sebanyak 320 rumah KSR berharga RM140,000 seunit di The Rise dekat Jalan S.P Chelliah dan dijual semula kepada pembeli bumiputera sahaja dengan harga semurah RM72,500 seunit.

Katanya, langkah berkenaan diharap mampu memastikan lebih 30 peratus kuota bumiputera yang diperuntukkan dalam projek perumahan di tengah-tengah bandaraya. Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan sejumlah RM44.6 juta daripada dana Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (Tabung Bumiputera) untuk membeli semua 320 unit rumah KSR itu.

Harga sebenar bagi seunit rumah berkenaan adalah RM100,000, bagaimanapun kerajaan negeri telah menyerap RM25,000 iaitu nilai satu petak tempat letak kenderaan di sini, menjadikan harga seunit rumah berkenaan hanya RM72,500.
 
Copyright © 2014 PenangKini.