BREAKING NEWS

Tuesday, 20 September 2016

Kenduri kahwin digenangi air



Majlis perkahwinan pasangan pengantin di Kampung Lahar Ikan Mati tetap diteruskan walaupun kawasan kediaman mereka digenangi akibat banjir kilat semalam.

Majlis perkahwinan Mohd Hafiz Majid, 28, dan pasangannya Noridayu Che Sab, 28, diadakan di perkarangan rumah Mohd Hafiz.

Bapa pengantin, Majid Harun, 71, berkata, keadaan itu berlaku apabila hujan tidak henti semalaman.

“Hujan turun sekitar 2 pagi, masa awal tu air tak naik lagi, lama-kelamaan air mula naik, saya mulanya risau juga, manakan tidak, memikirkan majlis perkahwinan.

“Namun, sekitar jam 1 petang tadi (semalam), hujan mula reda, air yang pada asalnya atas buku lali mula berkurangan namun ada sebahagian kawasan khemah masih digenangi air,” katanya.

Menurutnya, majlis perkahwinan anaknya terpaksa diteruskan biarpun berdepan dengan keadaan ini.

“Alhamdulillah, majlis masih dapat diadakan, cuma saya risau tetamu yang hadir tidak selesa akibat kawasan ini digenangi air.

“Namun biarpun begitu, hadirin tidak putus-putus bertandang ke majlis perkahwinan anak saya, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir,” katanya.

Sementara itu, ibu pengantin, Hafishah Yaakob, 54, berkata, air pada mulanya dilihat semakin naik sehingga hampir masuk ke dalam rumah.

“Memang sangat risau, nasib baik hujan berhenti.

"Tapi bila jadi macam ini, susah juga, sebab orang datang terpaksa mengharungi air banjir dan kerja-kerja jadi sukar, terpaksa angkut ke sana-sini,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.