BREAKING NEWS

Saturday, 17 September 2016

MP DAP Jelutong Bebal, Biadap Dan Rasis


Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman menyelar sikap biadap dan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi yang mempersenda kematian allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din semalam.

Mansor yang juga anggota parlimen Nibong Tebal berkata, justeru, PKR Pulau Pinang tidak bersekongkol dan akan menjarakkan diri dengan tindakan Jeff Ooi itu.

 "PKR sentiasa percaya bahawa manusia itu dilahirkan mulia dan kita seharusnya meletakan kemuliaan insan sebagai satu asas penting dalam etika kita berpolitik. "Perbezaan politik tidak seharusnya menjadikan kita hilang sifat kemanusiaan dengan mempersenda-sendakan kematian sesiapa pun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 Mansor merujuk kepada tindakan Jeff Ooi yang menulis 'Adios Harun Din. Let there be peace' di twitternya mengenai kematian arwah Haron Din semalam. Jeff Ooi kemudian menjelaskan di twitter itu bahawa maksud 'Adios' dalam bahasa Sepanyol ialah 'farewell' dan dalam Bahasa Malaysia sebagai 'selamat jalan'.

Pada masa yang sama, Mansor berkata, pihaknya juga ingin menyatakan rasa kehilangan dan berdoa semoga diberikan keteguhan dan kesabaran kepada keluarga allahyarham dalam menempuh suasana sedih ini.

"Saya bagi pihak PKR Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allayarham Haron Din yang telah kembali ke rahmatullah semalam.

"Kita semua milik Allah Taala dan kepadaNya kita akan kembali. Kami mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang soleh. "Sesungguhnya kehilangan almarhum adalah satu kehilangan yang sangat besar bukan sahaja dalam dunia politik malah juga dunia ilmu. Karya almarhum seperti "Manusia dan Islam" adalah antara sebahagian daripada sumbangan almarhum kepada dunia ilmu," tambah beliau.
 
Copyright © 2014 PenangKini.