BREAKING NEWS

Sunday, 25 September 2016

Pasaran getah dijangka terus meningkat, timah dijangka kukuh

 Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan momentum peningkatannya pada minggu depan, didorong permintaan yang memberangsangkan.

Seorang peniaga berkata pasaran akan memantau perkembangan pergerakan minyak mentah pada minggu depan susulan mesyuarat menteri anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) juga pada minggu depan, selain prestasi Bursa Komoditi Tokyo dan Bursa Shanghai.
Pada minggu ini, sebahagian besar dagangan di pasaran tempatan adalah tinggi.

Bagi perbandingan Khamis sehingga Jumaat, harga Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 menokok 50.5 sen kepada 592.5 sen sekilogram daripada 542.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 11 sen kepada 467.0 sen sekilogram daripada 456.0 sen sekilogram, sebelum ini.
Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20 melonjak 50.5 sen kepada 593.0 sen sekilogram daripada 542.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 10 sen kepada 466.5 sen sekilogram daripada 456.5 sen sekilogram.

Sementara itu, Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) dijangka kekal kukuh minggu depan dengan harga bergerak antara US$19,300 dan US$19,700 setan metrik, kata seorang peniaga.
Beliau berkata permintaan bagi logam berkenaan teguh, terutamanya daripada syarikat utama dari Asia.

“Kami menempatkan paras sokongan pada US$19,300 setan metrik dan halangan segera pada US$19,600 dengan harga berkemungkinan mencecah US$19,700 setan metrik.
“Permintaan bagi timah masih berterusan setelah pedagang China, Jepun dan Korea Selatan memerlukan logam tersebut bagi tujuan pembuatan,” katanya kepada Bernama.
Aliran menaik di Bursa Logam London serta penggantungan operasi perlombongan Filipina berikutan masalah alam sekitar, juga diunjur meningkatkan sentimen di PTKL.
“Pasaran tempatan kukuh sepanjang minggu kecuali pada 22 Sept yang susut sedikit dengan pembetulan teknikal.

“Sebarang penurunan harga akan menggalakkan permintaan daripada pedagang,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, timah ditutup tinggi setelah naik US$250 kepada US$19,450 setan metrik berbanding U $19,200 setan metrik pada Khamis lepas.

Jumlah dagangan naik kepada 250 lot berbanding 102 lot pada minggu lepas.
Perbezaan harga antara PTKL dan LME pada diskaun US$40 selepas sama pada Khamis lepas.
Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Hari Malaysia.
 
Copyright © 2014 PenangKini.