BREAKING NEWS

Tuesday, 27 September 2016

Pelita buka cawangan yang ke-28 dan terbesar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Shamsuri (tengah) dan K K Sihabutheen Kirudu (kanan) ketika pelancaran cawangan baharu Restoran Nasi Kandar Pelita terbesar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
RESTORAN Nasi Kandar Pelita giat mengembangkan rangkaian perniagaan terutama selepas pelancaran cawangan ke-28 dan terbesar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Pengerusi Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsuri Ahmad berkata, rangkaian restoran nasi kandar popular itu bukan sahaja menguasai pasaran Malaysia bahkan berjaya dikembangkan di Chennai, India.
“Sejak ia ditubuhkan 22 tahun lalu di Pulau Pinang dengan sebuah kedai kecil, kini berkembang seluruh negara.
“Kesemua rangkaian perniagaan kami memiliki Sijil Halal Jakim sejak Mei 2012 dan sijil ini bukan sahaja diiktiraf di sini, bahkan di serata dunia,” katanya ketika pelancaran cawang baharu restoran itu.
Dia berkata, faktor kejayaan perniagaan makanan itu kerana pihaknya amat menitikberat isu halal, bersih dan suci sejak ditubuhkan pada 1995.
“Kami amat menekan status halal makanan, kebersihan premis dan pekerja serta layanan mesra pelanggan.
“Bukan sahaja di Malaysia, restoran di India mendapat sijil perakuan halal daripada kerajaan di sana,” katanya.
Sementara itu, Pengarahnya, Datuk K.K Sihabutheen Kirudu Mohamed berkata, outlet terbaru terletak di kawasan strategik iaitu tengah pusat bandar Kuala Lumpur.
“Bukan sahaja bangunan baharu, outlet ini dibina bagi memuatkan 880 pelanggan dalam satu masa.
“Sama ada pelanggan harian, restoran ini menerima tempahan bagi majlis peribadi,” katanya.
Dia berkata, pembinaan restoran tersebut menelan belanja sehingga lima kali ganda berbanding pembukaan restoran baharu lain.
Kebiasaannya, pihak restoran memperuntukkan RM600,000 hingga RM700,000 untuk bina cawangan.
“Selepas cawangan ini, kami merencanakan  tiga outlet baharu di Johor tahun hadapan dan kembangkan rangkaian ke Indonesia seperti Jakarta dan Medan,” katanya.-SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.