BREAKING NEWS

Monday, 26 September 2016

Pendudak merayu MPSP hentikan projek letup kuari di Batu Kawan


BATU KAWAN - Penduduk di sini meminta pihak berkuasa tempatan menghentikan projek meletupkan kuari yang ada di kawasan itu kerana ia telah merosakkan rumah mereka serta mengganggu kehidupan mereka sejak lima tahun lalu.

Wakil penduduk yang juga ahli perniagaan Azhar Ibrahim, 47, berkata, terbaru kejadian pada Jumaat lepas yang mana letupan dari kuari itu sangat kuat sehingga menggegarkan kawasan di situ serta banyak rumah mengalami keretakan termasuk kediamannya.

"Letupan itu berlaku pada jam 2.30 petang dan ia sangat kuat sehingga rumah teres dua tingkat saya turut bergegar. Jubin di bahagian ruang tamu serta bilik air di tingkat bawah mengalami keretakan.

"Pintu gelungsor kaca dan beberapa barangan kaca di dalam rumah kami turut pecah. Ini bukan kejadian pertama kami malah sejak awal tahun ini letupan kuat dari kuari berkenaan kerap berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya penduduk di kawasan itu telah beberapa kali membuat aduan kepada Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) tetapi sehingga ke hari ini letupan di kuari itu masih dijalankan serta ia lebih kerap sehingga lebih banyak rumah mengalami kerosakan.

Seorang nelayan, S.Thinakaran, 44, berkata, semasa kejadian beliau sedang tidur di ruang tamu rumahnya kerana baru balik dari laut sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan kuat disusuli gegaran dalam kediamannya.

"Saya terus bangun dan berlari keluar dari rumah kerana menyangka berlaku gempa bumi atau tsunami, rumah kami dekat dengan laut sebab itu terfikir mungkin ia tsunami. Ketika itu beberapa jiran juga berada di perkarangan rumah masing-masing kerana terkejut dengan letupan tersebut," katanya.

Katanya selepas mendapati tiada apa-apa dan ia adalah letupan dari kuari di situ beliau dan isteri masuk semula ke dalam rumah dan mendapati jubin serta dinding di bahagian dapur telah pecah serta retak.

"Sampai bila penduduk di sini perlu tanggung semua masalah ini dan kami bimbang jika berlaku lagi letupan kuat akan menyebabkan rumah kami terus rosak. Ini akan membahayakan penduduk," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Batu Kawan, Abdul Halim Othman berkata, operasi kuari itu telah menjejaskan kehidupan 20,000 penduduk dan merosakkan ratusan rumah sejak lima tahun lepas.

"Paling teruk pada Jumaat lepas, ramai penduduk tampil membuat aduan kerana letupan kuat tersebut telah merosakkan rumah mereka malah penduduk juga bimbang ia akan merosakkan struktur kediaman serta bimbang ia roboh," katanya. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.