BREAKING NEWS

Thursday, 22 September 2016

Persempadanan semula SPR hanya untungkan DAP di Pulau Pinang




NIBONG TEBAL, 22 Sept – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak melibatkan negeri itu dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Jelas pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman, sekiranya SPR mahu melakukan persempadanan semua maka libatkanlah semua negeri memandangkan sudah hampir 13 tahun persempadanan ini tidak dilakukan.

Kajian semula persempadanan ini katanya dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada tahun 2003.

datuk-zainal-abidin-osmanOleh yang demikian beliau turut membidas pihak pembangkang yang cuba menggambarkan seolah-olah persempadanan semula kawasan pilihan raya ini adalah bertujuan untuk membantu Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Kita UMNO juga bantah terhadap perkara ini jadi tidak wujud mengatakan SPR buat persempadanan semula ini kerana nak menangkan BN. Ini semua adalah bertujuan untuk memburukkan imej BN dan UMNO.

“Saya agak kecewa kerana persempadanan semula ini tidak dibuat di negeri Pulau Pinang. Jadi saya berharap SPR akan memikirkan kembali perkara ini dan libatkanlah semua negeri,”

Justeru itu Zainal turut melahirkan rasa hairan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng apabila mengeluarkan kenyataan mahu mengambil tindakan saman terhadap SPR berkaitan isu ini.

Seharusnya kata beliau lagi Guan Eng tidak panas punggung malah harus bersyukur kerana persempadanan ini tidak melibatkan Pulau Pinang dan sekaligus memberi kelebihan kepada Dap.

“Seharusnya Guan Eng gembira kerana ia memberi kelebihan kepada parti Dap. Terdapat 13 kawasan Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini tidak terlibat jadi apa yang mereka marahkan sehingga mahu mengambil tindakan saman.

“Sudahlah marah tidak kena tempat… tuduh pula kononnya nk bantu BN menang. Sekarang ini kita juga tidak bersetuju dengan persempadanan semula ini. Siapa sekarang ini yang sedang bermain sandiwara politik…,” sindir Zainal.

Guan Eng dipetik berkata, kerajaan negeri akan memfailkan bantahan itu sebelum 14 Oktober ini, selain menyifatkan persempadanan itu sebagai percubaan untuk memastikan UMNO dan BN memenangi semula Pulau Pinang.

Guan Eng seharusnya faham persempananan ini dilakukan sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk dan pengundi. Ia hanyalah proses belah bahagi membabitkan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang disifatkan lebih kepada prosedur pentadbiran SPR.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Semua pihak diberikan masa selama sebulan sehingga 14 Okt untuk mengemukakan bantahan masing-masing.
 
Copyright © 2014 PenangKini.