BREAKING NEWS

Friday, 23 September 2016

PPBM di bawah Muhyiddin semakin Lesu

Dua minggu selepas permohonannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat masih lesu, walaupun ia kini perlu berusaha bersungguh-sungguh bertapak di kalangan parti pembangkang lain yang lebih berpengalaman.

PPBM masih belum menggariskan secara jelas program politiknya.
Kesunyian yang menyambut parti baharu ini berbeza dengan publisiti yang menyelubungi parti itu sebelum penubuhannya, dengan serangan daripada peringkat tertinggi kerajaan diketuai setiausaha akhbar perdana menteri.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat tidak banyak menonjol lagi, seorang pemerhati politik veteran memberitahu FMT, tidak seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terus mengeluarkan pelbagai kenyataannya mengulangi serangan ke atas pentadbiran Najib.

“Seolah-olah parti itu tidak ada apa-apa jentera,” menurutnya.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan beberapa individu yang sebelum ini lantang dalam Deklarasi Rakyat, gerakan naungan Dr Mahathir, di dalam PPBM.
Mereka termasuk bekas naib ketua Umno Batu Kawan, DatuK Seri Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat rapat dengan Dr Mahathir.

Ketika dihubungi mengapa kelibat beliau tidak kelihatan dengan pimpinan PPBM, Khairuddin enggan memberi sebarang komen.
“PPBM amat bergantung pada populariti Tun Mahathir dan tidak dapat berdiri di atas kaki sendiri,” kata sumber yang sama itu.

Sumber itu turut mempersoalkan kebolehan Muhyiddin dalam memimpin.
Menurutnya, Muhyiddin kerap dilihat sebagai seorang yang tidak bekerja dalam pasukan.
Malah, anggapan sedemikian ditambah dengan ketiadaan sebarang pengumuman mengenai barisan pemimpin parti baharu itu.

Kaitan Muhyiddin dalam sebuah kes perceraian, yang sudah diselesaikan di mahkamah, juga sedikit sebanyak menambahkan masalah imej yang dihadapinya, di samping menjadi fokus musuh politiknya dari Umno.

Banyak lagi kelemahan di pihak Muhyiddin, yang menurut pemerhati itu, membawa kepada persoalan sama ada PPBM boleh terus bertahan.
“Bukan sahaja Muhyiddin banyak mewarisi perkara lampau, jelas beliau juga tidak sangat selesa dengan DAP,” tambahnya.

Ramai yang menganggap Muhyiddin masih berfikiran seperti Umno dan belum berubah.
Berdampingan dengan pembangkang, khususnya DAP, sudah tentu bukan sesuatu yang mudah bagi Muhyiddin.

Menurut sumber itu, ini antara sebab PPBM di bawah kepimpinannya mungkin tidak mampu mengadakan persefahaman dengan parti pembangkang lain menjelang pilihan raya umum ke-14.
 
Copyright © 2014 PenangKini.