BREAKING NEWS

Monday, 26 September 2016

TG Haji Hadi Awang calon tepat ganti Haron Din


Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan calon paling tepat menggantikan kedudukan Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS, kata pengarang akhbar Utusan Malaysia.

Zulkiflee Bakar dalam ruang komentar akhbar itu berkata, bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya Majlis Syura Ulama menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Presiden PAS memandangkan beliau dilihat mempunyai pakej lengkap menyandang jawatan tersebut.

“Jika Abdul Hadi dipilih sebagai Mursyidul Am, ini dianggap pilihan yang tepat memandangkan Pas sememangnya memerlukan seorang pemimpin seperti beliau bagi memperkasakan peranan ulama dan Majlis Syura Ulama parti itu,” katanya dalam Utusan Online.

Tambah Zulkiflee, PAS tidak lagi berada dalam situasi selesa malah pilihan raya umum akan datang dianggap sebagai penentu sejauh mana kepimpinan ulama diterima penyokong PAS.

“Sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar untuk mencari pengganti Abdul Hadi sebagai Presiden Pas jika beliau dilantik sebagai Mursyidul Am parti itu.

“Parti itu sememangnya sudah menyediakan barisan pelapis bagi mengambil alih kepemimpinan parti itu. Antara tokoh tersebut termasuklah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Idris Ahmad,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang lebih selesa dengan jawatan tersebut mencadangkan supaya tokoh lain dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya Haron Din.

Beliau yang juga Menteri Besar (MB) Kelantan memberi alasan menolak tawaran itu kerana sibuk dengan pelbagai komitmen lain.

Jawatan itu kosong selepas Haron Din meninggal dunia pada 16 Sept lepas ketika sedang dirawat di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California.

 
Copyright © 2014 PenangKini.