BREAKING NEWS

Monday, 3 October 2016

Lim Guan Eng Berdepan 13000 Mukasurat Dokumen pihak pendakwaan SPRM

Pihak pendakwaan kes korup melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan 13,000 mukasurat dokumen.

Jumlah dokumen itu didedahkan pada sebutan semula kes Guan Eng yang berdepan dengan dua tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Georgetown pada 30 September lalu.

Hakim Datuk Hadariah Syed Ismail menetapkan 6 Disember depan bagi pengurusan kes selepas ketua peguambela mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo menyatakan mereka memerlukan masa bagi meneliti 13,000 mukasurat dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwaraya Masri Mohd Daud dibantu Mohd Dusuki Mokhtar, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Mohd Zain Ibrahim dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Guan Eng sebelum ini meminta dibicarakan atas dua tuduhan rasuah menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam bagi mendapatkan imbuhan untuk dirinya serta isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan daripada Magnificient Enblem bagi mengubah status dua plot tanah pertanan kepada pembangunan perumahan dalam satu mesyuarat jawatankuasa perancangan negeri pada 18 Julai 2014.

Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 23, Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Guan Eng juga tidak mengaku salah terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kedudukannya bagi memperoleh imbuhan dengan membeli rumahnya daripada seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, di bawah nilai pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai 2015.

Kesalahan ini boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.