BREAKING NEWS

Wednesday, 5 October 2016

Malaysia ambil bahagian ‘permainan perang’ di Laut China Selatan


Angkatan tentera New Zealand, Australia, Malaysia, Singapura dan Britain sedang menjalani latihan di Laut China Selatan bulan ini.

Latihan selama 3 minggu yang bermula hari ini, memberi peluang kepada 5 negara meningkatkan integrasi dan saling kendali.

Latihan yang dikenali sebagai “Exercise Bersama Lima 16” termasuklah anggota perkhidmatan tentera laut, darat dan udara dari kesemua negara yang mengambil bahagian.

Xinhua memetik Panglima Angkatan Tentera New Zealand, Mejar Jeneral Tim Gall sebagai berkata pengukuhan hubungan profesional dengan negara-negara ini penting bagi memastikan kemampuan untuk saling kendali.

Angkatan tentera kesemua negara itu membentuk Pakatan Perjanjian Pertahanan 5 Negara, yang memerlukan ahli-ahli berunding antara satu sama lain dan mengambil tindakan jika terdapat serangan ke atas Malaysia atau Singapura.

Menurut laporan International Business (IBT), latihan tahun ini juga untuk memberitahu China agar berundur daripada tuntutan terhadap wilayah yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Angkatan tentera Indonesia juga merancang mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran bulan ini dengan semua 3 bahagian perkhidmatan di rantau Kepulauan Natuna di Laut China Selatan, kata laporan IBT itu.

Laporan IBT berkata ketegangan yang semakin meningkat antara China dan negara-negara jiran mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik di kawasan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

China katanya, giat menghantar lebih banyak kapal pengawal pantai bersenjata untuk membuat rondaan di laluan perkapalan yang bernilai sehingga AS$5 trilion perdagangan setiap tahun.
China, Taiwan, Vietnam, Malaysia, Brunei, dan Filipina menuntut wilayah dan bidang kuasa, terutamanya mengenai hak kemungkinan untuk mengeksploitasi rizab minyak dan gas di rantau ini.

 
Copyright © 2014 PenangKini.