BREAKING NEWS

Sunday, 2 October 2016

Tiada lagi lumba motor di jalan raya awam, kata KPT kepada IPT


Sebarang penganjuran perlumbaan kereta bermotor oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada masa akan datang tidak lagi dibenar diadakan di jalan raya awam, sebaliknya hanya di litar perlumbaan khas yang diwartakan pihak berkuasa.

Ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Siasatan Khas Insiden Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 30 Sept lalu.

“Mesyuarat juga memutuskan Persatuan Sukan Permotoran (MAM) untuk mengemukakan laporan oleh pegawai perlumbaan serta laporan protokol.
“Pada masa sama, jawatankuasa siasatan khas juga akan meminta Persatuan Automobil Malaysia (AAM) mengemukakan laporan protokol,” kata kenyataan media KPT yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan itu menyebut mesyuarat susulan akan diadakan selepas menerima laporan lengkap insiden yang menyebabkan kematian penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaiha, 5, akibat dirempuh sebuah go-kart semasa menonton EIMARace 2016.

Isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Daniel, 7, pula cedera dalam kemalangan pada 11.30 pagi, 25 Sept lalu itu di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila 3 go-kart bergesel sesama sendiri dan sebuah daripada kenderaan itu terbabas dan merempuh 2 beranak itu.
Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Setiausaha KPT Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Prof
Datuk Dr Asma Ismail dan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan KPT Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Turut terlibat ialah Timbalan Ketua Pengarah (Awam) JPT Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon.
Ia turut dianggotai Pengarah Pembangunan Mahasiswa JPT Prof Madya Dr Sopian Bujang, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat SUK Pahang Ahmad Rizal Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif TAJ International College Mohd Azad Jasmi.

 
Copyright © 2014 PenangKini.