BREAKING NEWS

Monday, 7 November 2016

Banjir kilat: Ramai luah ketidakpuasan hati


 Gara-gara muak dengan kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di Pulau Pinang, ada antara rakyat negeri ini mula menyindir pihak tertentu melalui laman sosial masing-masing.

Antaranya pengguna dikenali sebagai Eric Woo yang memaklumkan, dia sudah bosan dengan kejadian banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat.

“Kalau hujan, semua orang susah hati sebab kami dah tahu air pasti akan naik. Lebih parah apabila berlaku di kawasan mempunyai penduduk padat. Bukan saja rumah akan dimasuki air, tetapi jalan raya juga sesak sebab kenderaan mengelak dari memasuki kawasan air yang dalam,” katanya.

Eric sebelum itu turut memuat naik status di laman Facebook miliknya 'Selamat Datang ke Bandar Banjir Antarabangsa Pulau Pinang'.

Menurut seorang lagi pengguna laman tersebut, David Yim Boon Leong, dia kesal kerana pihak bertanggungjawab sering beri alasan, cuaca sebagai punca utama banjir.

“Mana boleh begitu? Kenapa tempat lain tak berlaku, sedangkan mereka juga tinggal berdekatan dengan laut dan mengalami hujan lebat.

“Carilah penyelesaian secepat mungkin. Kami penat kerana terpaksa berdepan dengan masalah ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Penduduk Batu Maung, Ali Ahmed, 38, pula berkata, dia sudah penat kerana terpaksa mencuci dan mengemas rumah setiap kali banjir kilat berlaku.

“Macam orang Pulau Pinang kata, jenuhlah nak mengemas macam ini setiap minggu. Kadangkala kami terpaksa ambil cuti sebab takut air naik lagi tinggi. Mana tahu... nanti habis semua peralatan dalam rumah,” katanya.

Semalam, beberapa lokasi di Daerah Barat Daya termasuk Taman Lip Sin, Bayan Baru dan Batu Maung dinaiki air, yang dipercayai kejadian ketiga dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir sejak kelmarin.

Antara lokasi terjejas ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, yang berterusan sehingga petang semalam.
 
Copyright © 2014 PenangKini.