BREAKING NEWS

Tuesday, 8 November 2016

DAP, ketua menteri dan Ramasamy



Saya merujuk tulisan Shamsher Singh Thind, “Ini sebabnya Ramasamy bukan pengganti Guan Eng” diterbitkan dalam FMT hari ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada penulis kerana menerangkan secara terperinci daripada sudut perundangan dan komplikasi yang bakal dihadapi sekiranya Lim Guan Eng tidak menamakan penggantinya, andai kata didapati bersalah atas 2 tuduhan rasuah terhadapnya.

Apa yang penulis lupa menerangkan secara terperinci ialah bagaimana seorang ketua menteri dengan jelas mengenepikan timbalannya (dari parti yang sama) sebagai pengganti kerusi beliau.
Benar, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Koon Yeow masih perlu untuk mendapatkan sokongan adun Pakatan Harapan lain, namun bukankah Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy sekiranya dinamakan pengganti juga harus mendapatkan sokongan daripada adun lain? Proses yang sama tetapi amat prejudis!

Atau apakah penulis cuba menerangkan bahawa restu Lim Guan Eng lebih penting berbanding restu adun lain untuk menjadi penggantinya?

Jika diikutkan logik sistem politik di negara ini, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad berundur sebagai perdana menteri, jawatannya diambil alih timbalannnya dan perkara yang sama berlaku apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatannya kepada timbalan beliau ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Maka proses peralihan kuasa dilakukan dengan adil serta mengambil kira sentimen parti.
Namun dalam konteks kerajaan negeri Pulau Pinang, seorang exco dinamakan pengganti sedangkan timbalan ketua menteri pula dibelakangkan.

DAP sering megah sebagai parti yang berbilang kaum dan berjuang untuk semua, namun dalam soal peralihan kuasa, jelas kelihatan hanya satu pihak sahaja yang mendominasi, sementara yang lain hanya berfungsi sebagai tukang sokong.

Dengan mengusulkan satu dua nama bukan Cina untuk menunjukkan DAP bebas daripada elemen perkauman bukanlah satu tindakan yang matang dalam berpolitik.
Jika mendiang Karpal Singh pernah menjawat jawatan pengerusi DAP dan beliau bukan berbangsa Cina, apa salahnya Ramasamy memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang. Ingat, beliau juga bukan berbangsa Cina!

Edwin Michael ialah pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Perak.

FMY
 
Copyright © 2014 PenangKini.