BREAKING NEWS

Monday, 14 November 2016

Desak Kerajaan Negeri Menjelaskan Isu Saham Pulau Jerejak.


14 NOV : Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan pelbagai isu yang timbul ekoran penjualan 49 peratus saham Perbadanan pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIRSB) yang dilantik mengendalikan sebuah resort di Pulau Jerejak.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo berkata kerajaan negeri yang lantang menjuarai kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) itu perlu menjelaskan sebab penjualan saham TIRSB dan kenapa tawaran projek tebus guna Bayan Bay tidak dibuat secara tender terbuka.

“Semuanya dirancang awal tanpa pengetahuan rakyat Pulau Pinang dan mengapa kerajaan negeri masih tidak memberitahu tarikh sebenar transaksi penjualan 49 peratus saham PDC kepada TIRSB.

“Pada masa sama, kerajaan negeri harus juga menerangkan bilakah projek Bayan Bay ditawarkan kepada Ideal Property Development Sdn Bhd (Ideal) sedangkan kedua-duanya berkait rapat,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata kedua-dua projek itu tidak ditawarkan menerusi proses tender terbuka dan diberi kepada sebuah syarikat.

TIRSB adalah usaha sama antara UDA dan PDC, yang masing-masing mempunyai pegangan 51 peratus dan 49 peratus.

UDA, dalam kenyataannya pada 8 Nov mengesahkan sedang menjalankan usaha sama dengan Q Island Development ke atas projek itu yang dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun dan jumlah kos masih belum ditentukan lagi.

Menurut UDA, rancangan pembangunan semula itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri. Empat hotel 5-bintang, 1,200 unit rumah, sebuah marina, taman tema dan 11.5 km trek basikal akan dibina untuk mempromosi pelancongan dalam negeri.
bnbbc
 
Copyright © 2014 PenangKini.