BREAKING NEWS

Friday, 18 November 2016

Di Sebalik Strategi & Putar Belit BAJET Guan Eng !



Selain daripada membentangkan bajet defisit selama tempoh 6 tahun berturut-turut , kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri , Lim Guan Eng sekali lagi menerima tamparan apabila bajet 2017 kerajaan DAP Pulau Pinang kini mula dipertikaikan.

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengaku mengamalkan dasar Cekap , Akauntibiliti dan Telus dalam pentadbiran sewajarnya apa jua perancangan yang dikemukakan haruslah setidak-tidaknya memberikan gambaran bahawa rakyat diutamakan.

Namun setelah 2 penggal DAP mengepalai kerajaan negeri Pulau Pinang , pimpinan mereka ternyata masih lagi gagal untuk memahami maksud disebalik slogan CAT yang mereka sendiri ciptakan.Kepelbagaian janji yang ditaburkan kepada seluruh negara bukan sahaja menyongsang jauh tetapi berubah menjadi tindakan bersifat pentingkan diri sendiri.

Dalam menangani kedudukan ekonomi pada masa kini , sudah pastilah semua pihak akan memberikan tumpuan terhadap perkara-perkara asas supaya rakyat diakar umbi dapat dibela.Malahan dalam pembelaan itu kita harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan bukan kepentingan politik kepartian.

Selain daripada itu tiap perancangan mestilah menyeluruh dengan semua agensi-agensi terlibat dipasakkan dengan keupayaan atau paling tidak dengan suntikan dana bagi menzahirkan gerak kerja mengikut kesesuaian masa dan kedudukannya.

Walaubagaimanapun semua itu nampaknya tidak berlaku di Pulau Pinang , Ketua Menterinya dilihat lebih banyak merancang untuk kekuatan dan kepentingan diri sendiri.Bahkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menambah peruntukan kepada Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan yang berlipat kali ganda itu bukan sahaja menimbulkan persoalan tetapi memperlihatkan kepada seluruh rakyat betapa kerakusan berkuasa menjadi pilihan utama DAP.

Datuk Jahara Hamid , Adun Telok Air Tawar merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini membidas Guan Eng apabila merumuskan bajet 2017 kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah DAP dan Pakatan Harapan sebagai MENGELIRUKAN dan PENUH PERSOALAN !

Peningkatan lima kali ganda peruntukan tambahan sebanyak RM 707.61 juta kepada Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berbanding hanya RM161.59 pada 2016 dilihat banyak pihak sebagai penuh muslihat dan punya agenda tertentu.

Alasan yang diberikan oleh Guan Eng kononnya peningkatan mendadak tersebut adalah kerana RM609 juta akan dipinjamkan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan RM30 juta pula akan dipinjamkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hanyalah satu alasan mengelirukan dan seakan ada sesuatu yang disembunyikan.

“Soalnya sekarang mengapa ia dimasukkan di bawah peruntukan pejabat ketua menteri kerana sebelum ini ia di bawah peruntukan pembangunan.

“Satu lagi yang dipertikaikan, jika pinjam mesti kena bayar balik dan bagaimana cara untuk membayar itu… nanti pada penghujungnya jika ada lebihan wang dan Guan Eng akan cakap lebihan ini adalah kerana kebijaksanaan pentadbiran kerajaan negeri tapi sebenarnya dia hanya putar belitkan angka,”

Manakala Ahli Parlimen Tasek Gelugor , Datuk Shabudin Yahaya pula berasa hairan dan pelik dengan peruntukan besar terhadap Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Kita merasa sedikit pelik dan ajaib apabila melihatkan pejabat Ketua Menteri sendiri menerima bajet yang begitu besar sebanyak RM 707.61 juta, yang mana peruntukannya meningkat secara mendadak lima kali ganda berbanding tahun lalu.

“Bajet yang begitu besar yang diberikan kepada pejabat Ketua Menteri ini saya lihat tidak munasabah dan dibimbangi ianya boleh menjurus kepada salah guna kuasa memandangkan kelulusan untuk bajet tersebut di atas kuasa ketua Menteri itu sendiri.

“Peruntukan tambahan kepada pejabat Ketua Menteri yang melonjak begitu tinggi sebanyak RM 546.02 juta berbanding RM161.59 lebih sebelum ini memperlihatkan seolah-olah wujudnya agenda atau perancangan tertentu oleh kerajaan negeri, atau Ketua Menteri itu sendiri yang tidak diperjelaskan kepada rakyat di dalam pembentangan bajet tersebut.

“Kenaikan peruntukan pejabat Ketua Menteri secara mendadak dan terlalu banyak itu juga merupakan satu petunjuk kepada kelemahan pengurusan perancangan kewangan kerajaan negeri sehingga terpaksa membuat tambahan peruntukan yang terlalu tidak munasabah,” jelasnya.

Mengambil kira semua faktor diatas maka kita dapat simpulkan bahawa sememangnya mereka mempunyai agenda tersendiri.Dan untuk merealisasikan agenda ini maka rakyat perlu dilalaikan dengan angka-angka sedemikian supaya kerajaan DAP Pulau Pinang akan sentiasa dilihat berkeupayaan.

Realitinya mereka sebenarnya sedang bermain dengan minda rakyat !

Manakan tidak , dengan jumlah bajet sebesar itu DAP akan menjadikan kedudukan Guan Eng sebagai orang paling hebat dalam semua peringkat dan setiap permasalahan yang timbul dan bakal timbul nanti akan diselesaikan oleh Ketua Menteri dengan penyaluran bajet-bajet terbabit sedang hakikatnya bajet-bajet tersebut sepatutnya diagihkan kepada agensi mahupun jabatan yang berhak.

Jika DAP begitu hebat menolak bajet kerajaan persekutuan dengan alasan kononnya semua yang dibentangkan itu adalah retorik tanpa asas kedudukan ekonomi yang kukuh , bagaimana pula dengan bajet kerajaan negeri Pulau Pinang ?

Bukankah kerajaan DAP sendiri masih lagi gagal untuk menyelesaikan masalah banjir kilat dan lebih banyak merungut serta menagih bantuan dari kerajaan persekutuan kononnya mereka tidak punya dana yang mencukupi bagi mengatasi permasalahan tersebut ?

Jika semua itu diambil kira maka kita akan sedar bahawa benarlah kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mempunyai keupayaan dana untuk menyelesaikan permasalahan banjir kilat yang makin kerap berlaku kerana berganda-ganda bajet tidak diarahkan kepada Jabatan dan agensi yang betul sebaliknya diangkut dan dieramkan di Pejabat Ketua Menteri.

Dan mungkin juga peningkatan itu ada kena mengena dengan ura-ura PRU14 semakin hampir !

Segalanya mungkin ! Inilah permainan dan strategi politik DAP !
 
Copyright © 2014 PenangKini.