BREAKING NEWS

Tuesday, 22 November 2016

Gadis mural di Pulau Pinang tak sangka betapa ‘besarnya’ dia

Dr Caryn Koh tidak menyedari beliau akan menjadi terkenal tetapi mural dirinya yang setinggi bangunan 5 tingkat sudah pun diketahui ramai.

Apabila diberitahu wajahnya akan dilihat beribu-ribu pengguna jalan raya apabila mereka berkumpul di Magazine Road dari Jambatan Pulau Pinang, beliau berkata: “Oh benarkah?”
Mempunyai major dalam seni, gadis berusia 29 tahun dari Damansara Jaya, Petaling Jaya ini dilukis pada dinding bangunan 1st Avenue Mall di sini pada hujung minggu oleh seniman jalanan Kanada, Emmanuel Jarus.

Lukisan, hampir setinggi bangunan 5 tingkat itu mempunyai kelebaran kira-kira 24 kaki, difahamkan mengambil masa hampir 5 hari untuk disiapkan Jarus.

Dalam temu bual Caryn dengan FMT, doktor perubatan yang kini menjadi artis itu berkata ia merupakan satu penghormatan untuk dikenang oleh artis gaya bebas seperti Jarus.
“Saya mengikuti hasil kerjanya. Saya sangat berbesar hati menjadi subjek lukisannya,” kata Caryn.
Caryn mula diperkenalkan kepada Jarus melalui penyelaras seni berpangkalan di Pulau Pinang, Tan Chor Whye, semasa berada di Kuala Lumpur untuk membantu rakan-rakan artis jalanan Ernest Zacharevic menyiapkan sebuah mural.

Menjelaskan bagaimana mural ini dibuat, Caryn yang mempunyai ibu berasal dari Pulau Pinang berkata mural itu berdasarkan gambar diambil Jarus semasa mereka melawat Batu Caves, Selangor.
Di sana kata Caryn, Jarus mengambil gambar kandid beliau merenung bahagian dalam gua.

“Saya terpesona dengan gua dan pemandangan pada masa itu. Jarus sibuk mengambil gambar tetapi saya tidak tahu beliau mengambil gambar saya.

“Saya memakai seluar pendek pada masa itu dan bernasib baik kerana membawa sepasang seluar Aladdin sebagai sebahagian daripada kod pakaian untuk melawat gua.
“Hanya apabila kembali ke Pulau Pinang, saya diberitahu ‘sebenarnya saya akan melukis gambar anda’. Dan saya hanya berkata, ‘oh, okay?’

“Saya tidak membantah kerana diberi penghormatan untuk menjadi subjek. Tetapi saya tidak pernah tahu ia akan menjadi sebesar ini!” kata Caryn lagi.

Caryn kini merupakan sebahagian daripada kolektif seni dengan 4 yang lain dinamakan Titik Merah dengan galeri di Publika, Solaris Dutamas di KL.

Beliau diiktiraf kerana ilustrasi #sekolahseries, lakaran ringkas murid perempuan menggunakan pen dan pensil warna, berpakaian seragam sekolah.

Bercakap mengenai perubahannya daripada menjadi doktor terlatih kepada artis, Caryn berkata menjadi artis adalah impiannya.

Katanya, belajar perubatan adalah desakan orang tuanya, dan beliau akur.
Beliau memperoleh ijazah dalam bidang perubatan di IMU dan menjalankan latihan di hospital di Wigan, England.

“Selepas kembali ke tanah air, saya merasakan dunia perubatan bukanlah sesuatu yang saya mahu lakukan.

“Keghairahan saya adalah terhadap seni, ia semula jadi dan saya sentiasa mahu melakukannya. Terdapat dorongan di situ,” katanya.

Koh berkata ibu bapanya menyokong kerjanya dan turut teruja melihat gambar beliau di sebuah bangunan di Pulau Pinang.

Apabila ditanya sama ada beliau akan melawat muralnya, Koh berkata: “Mungkin akhir Disember atau awal tahun depan!”

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.