BREAKING NEWS

Monday, 7 November 2016

Harga barang naik pengguna perlu bijak


TASEK GELUGOR - Dalam suasana menghadapi kenaikan harga barang ini, semua pihak termasuk masyarakat perlu memainkan peranan tersendiri dalam menghadapi situasi ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kenaikan harga barang ini sukar ditentukan bila atau bagaimana ianya berlaku kerana faktor ini turut dipengaruhi keadaan ekonomi dunia.

"Kerajaan sentiasa berada di peringkat sentiasa menstabilkan keadaan dalam memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya keadaan ini.

"Namun dalam mengatasi semua ini, rakyat juga perlu memainkan peranannya yang tersendiri dengan mencari kaedah dan sentiasa kreatif dalam mencari penyelesaian terhadap perkara ini," katanya.

Katanya, soal kenaikan bukan sesuatu yang baharu berlaku malahan ianya berlaku sejak dari dahulu lagi.

"Apa yang kita harapkan dalam soal ini, masalah tidak akan dapat diatasi dengan saling menyalahkan sesebuah pihak dan saya percaya perkara ini bersifat sementara dan ianya akan sampai masanya untuk pulih.

"Mungkin dari segi sudut lain, rakyat dapat mengambil inisiatif dengan lebih kreatif, misalnya mempelbagaikan hasil pendapatan dan pada masa sama menjimatkan perbelanjaan harian," katanya.

Menurutnya, dalam soal ini, semua pihak harus mencari alternatif bagi menyesuaikan diri dalam menghadapi keadaan yang agak mencabar ini.

"Misalnya dalam isu minyak, minyak paket masih diberi subsidi daripada kerajaan, namun ada segelintir pihak yang mengeksploitasi keadaan ini, berlaku penyeludupan dan menyebabkan rakyat yang sepatutnya menerima manfaat ini, bila nak pergi minyak paket di kedai tapi tiada.

"Dalam soal ini yang saya nyatakan ianya perlu diambil kira dalam segenap aspek dan segi, kerajaan sentiasa prihatin namun pada masa sama rakyat juga perlu bertanggungjawab dan beri kerjasama agar masalah ini dapat kita lalui dengan bersama," katanya. -SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.