BREAKING NEWS

Saturday, 5 November 2016

Jambatan Pulau Pinang nafi tol naik


GEORGETOWN - Jambatan Pulau Pinang mengesahkan laporan kenaikan tol sebanyak RM1 yang diviralkan di media sosial adalah tidak benar.

Menurut sumber Jambatan Pulau Pinang, laporan yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah palsu dan sengaja diada-adakan.

Sumber itu berkata, orang ramai diminta agar tidak terpengaruh atau mempercayai viral seperti itu yang menyebabkan mereka terkeliru.

"Saya mengesahkan laporan itu tidak benar dan palsu. Orang ramai diminta tidak mempercayainya kerana ia bukan kenyataan rasmi dari mana-mana pihak bertanggungjawab. Saya ingin menasihati orang ramai agar hanya mempercayai kenyataan dari sumber sahih antaranya dari Jambatan Pulau Pinang sendiri ataupun Kementerian Kerja Raya.

"Selagi menteri di kementerian tersebut tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, maka semua laporan palsu di media sosial tidak boleh dipercayai. Saya harap perkara seperti ini tidak lagi berlaku kerana akan menyebabkan pengguna keliru sekaligus membuat andaian masing-masing tanpa merujuk kepada pihak yang sepatutnya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab viral senarai kenaikan kadar tol di beberapa buah tol di negara ini termasuk Jambatan Pulau Pinang.

Dalam senarai terbabit, ia menyatakan kadar kesemua senarai tol terbabit termasuk tol di Jambatan Pulau Pinang dinaikkan RM1 bermula semalam (5 November).

Terdahulu, Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menegaskan laporan yang tersebar mengenai kenaikan kadar tol di beberapa lebuhraya kononnya bermula 16 November ini adalah palsu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Sazally Saidi berkata, kenyataan yang tersebar di laman sosial sejak pertengahan bulan lalu itu tidak benar dan didapati berita lama yang dikitar semula.

“Perkara yang diviralkan mengenai kenaikan harga tol di 17 plaza tol  itu adalah kenyataan palsu. Dalam laporan berkenaan mengatakan kadar tol akan naik pada hari Isnin 16 November sedangkan 16 November 2016 adalah hari Rabu.

“Pihak kementerian juga dah buat kenyataan mengenai perkara tersebut sebelum ini, saya mewakili persatuan juga ingin jelaskan sekali lagi bahawa perkara itu tidak benar,” katanya. -SINAR

 
Copyright © 2014 PenangKini.