BREAKING NEWS

Saturday, 19 November 2016

JANGAN BAKAR PERLEMBAGAAN DENGAN PROTES JALANAN


1. Apabila pakatan pembangkang yang diketuai oleh DAP dan PKR kalah teruk dalam pilihanraya umum pada tahun 2004, mereka telah menyalahkan kekalahan mereka kepada sistem pilihanraya yang kononnya tidak telus. Mereka dan NGO-NGO yang bersimpati dengan mereka seperti Majlis Peguam dan Suaram kemudian telah menubuhkan Bersih dan mengumpulkan penyokong-penyokong mereka untuk berhimpun di jalanraya bagi memprotes kekalahan mereka.
2. Di Amerika Syarikat baru-baru ini, perkara yang sama telah berlaku iaitu apabila Donald Trump memenangi pilihanraya Presiden secara sah dan mengikut perlembagaan, penyokong-penyokong Hillary Clinton yang tidak berpuas hati telah berhimpun untuk memprotes keputusan pilihanraya tersebut di beberapa bandaraya. Kumpulan-kumpulan tersebut tidak bersetuju dengan keputusan pilihanraya dan menolak Presiden yang telah dipilih secara sah.
3. Baru-baru ini Pengerusi Bersih, Maria Chin, telah mengakui bahawa Bersih telah mendapat dana asing daripada National Democracy Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI) yang dibiayai oleh George Soros. Hakikatnya, banyak NGO-NGO yang bersimpati dengan pembangkang sememangnya telah dibiayai oleh dana asing. Mungkin sebab ini apabila pihak Kerajaan ingin membawa cadangan Akta Pembiayaan Politik ke Parlimen baru-baru ini, pihak pakatan pembangkang telah tidak bersetuju kerana mungkin akta ini akan mendedahkan sumber-sumber dana asing mereka iaitu seperti National Democracy Institute (NDI), Open Society Institute (OSI) dan George Soros.
4. Institusi-institusi yang sama ini telah terlibat dan bertanggungjawab dalam gerakan dan campurtangan asing untuk menjatuhkan kerajaan di negara-negara Timur Tengah seperti Tunisia, Mesir, Yaman, Libya dan Syria pada beberapa tahun yang lalu melalui protes jalanan, kacau bilau dan rampasan kuasa yang dinamakan “Arab Spring”.
5. Pihak-pihak yang ingin menjatuhkan dan menukar kerajaan melalui protes jalanan, kacau bilau dan rampasan kuasa ini terang-terang tidak menghormati Perlembagaan Negara yang menetapkan bahawa Kerajaan dipilih melalui proses pilihanraya dan bukan pertandingan kekuatan di protes jalanraya. Jika pihak-pihak ini berjaya menjatuhkan dan menukar kerajaan melalui protes jalananraya dan kacau bilau oleh segelintir kumpulan yang ditaja oleh tangan-tangan asing ini, maka ianya tidak adil kepada keseluruhan rakyat yang telah memilih kerajaan secara sah dan mengikut Perlembagaan melalui proses pilihanraya. Jangan kita ‘bakar’ Perlembagaan dengan protes jalanan.
6. Sebagai alasan untuk menolak keputusan pilihanraya, mereka menyatakan bahawa sistem pilihanraya adalah tidak telus yang telah dirancang untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional. Persoalannya, jika Kerajaan boleh merancang dan menentukan kemenangan pilihanraya, bagaimana mungkin pakatan pembangkang boleh menang di empat negeri pada pilihanraya yang lepas? Dan mengapa pula Kerajaan Barisan Nasional perlu berhempas pulas untuk berkempen di setiap kawasan untuk memenangi pilihanraya? Hakikatnya, Pakatan pembangkang dan Bersih hanya menolak keputusan dan sistem pilihanraya di kawasan-kawasan yang mereka kalah, tetapi menerima pula sistem pilihanraya di kawasan-kawasan yang mereka menang. Sistem pilihanraya di semua kawasan di Malaysia ini adalah sama, kita tidak boleh menerima sistem pilihanraya dan keputusannya di mana kita menang dan menolaknya pula di mana kita kalah.
7. Bagaimana pula halnya dengan penyokong terbesar Bersih iaitu DAP yang mana proses pemilihan parti dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP telah dicemari dengan ketidaktelusan pada pemilihan parti yang lepas di mana ramai ahli yang layak mengundi tidak dipanggil untuk hadir mengundi? Mengikut siasatan Pendaftar Pertubuhan, ramai ahli DAP yang layak mengundi pada pemilihan parti melaporkan mereka tidak menerima notis panggilan untuk menghadiri Kongres Kebangsaan parti itu pada Disember 2012 yang lalu.
8. Bagaimana pula dengan satu lagi penyokong Bersih iaitu Majlis Peguam yang mana semasa pemilihan jawatankuasa tertinggi majlis itu baru-baru ini dilaporkan ahli-ahli mereka telah dihalang masuk untuk menyaksikan proses pengundian? Adakah mereka mahu menyembunyikan sesuatu di mana hanya pihak tertentu sahaja dibenarkan masuk tetapi pihak-pihak yang lain telah dihalang? Mereka perlu jawab pertuduhan-pertuduhan ini kerana jika proses pilihanraya dalaman mereka sendiri tidak telus dan tercemar, bagaimana mungkin mereka boleh mendokong perjuangan pilihanraya yang telus dan adil?
9. Hakikatnya perjuangan Bersih adalah bukan perjuangan yang ikhlas tetapi hanyalah agenda politik pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya dan mahu mencetuskan kacau bilau untuk menjatuhkan kerajaan melalui protes jalananraya dengan tidak mengikut Perlembagaan. Sebab itu kita lihat beberapa pemimpin-pemimpin politik yang dahulunya anti protes jalanan tetapi kini apabila kepentingan dan agenda politik mereka berubah, menyokong dan menghasut pula orang ramai untuk hadir ke protes jalanan. Hanya mereka yang mudah terperdaya akan terkabur mata dan terpengaruh oleh hipokrasi sebegini.
10. Kini rakyat Malaysia bukan sahaja berdepan dengan penghasut-penghasut dari dalam negeri yang ingin menimbulkan kacau bilau dan memecahbelahkan masyarakat, tetapi juga dengan ancaman campurtangan asing yang membiayai mereka ini. Kita perlu pertahankan Perlembagaan dan kedaulatan Negara daripada ancaman-ancaman dari dalam dan luar negeri. Jangan kita menang sorak tetapi kampung tergadai.
Isham Jalil ialah Presiden Sukarelawan Malaysia
 
Copyright © 2014 PenangKini.