BREAKING NEWS

Monday, 7 November 2016

Jumpa ikan porpoise mati

TANJUNG TOKONG - Seekor ikan porpoise ditemui mati oleh seorang nelayan di pantai Tanjung Tokong, di sini.

Nelayan, Abdul Satar Haris berkata, dia menemui ikan besar itu di pesisir pantai sekitar jam 5 petang.

Menurutnya, dipercayai kemungkinan ikan berkenaan mati akibat terkena enjin bot.

“Ikan dari spesies ini seperti ikan lumba-lumba, ia memang manja dan tak reti takut.

“Pada pengetahuan saya, ikan sebegini memang berada banyak di pantai Pulau Pinang. Namun disebabkan tambakan dan sebagainya, mungkin ia akan semakin berkurangan,” katanya.

Dimaklumkan sebelum ini nelayan turut menemui penyu mati di lokasi sama.

Abdul Satar berkata, kebiasaannya bangkai ikan itu dibiarkan saja dan kemudiannya ditanam oleh pekerja pembersihan keesokan harinya.

“Kami tidak tahu sama ada pihak bertanggungjawab ada datang untuk mengambil data ataupun tidak.

“Bangkai tersebut terpaksa ditanam kerana bimbang bau terlalu kuat,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) NGO Pantai, Saiful Lizan Yusof berkata, sehingga kini pihak bertanggungjawab tidak mempunyai data jumlah ikan dari spesies berkenaan.

Menurutnya, ini menunjukkan tidak ada bukti mana-mana pihak dapat mengatakan ia semakin pupus ataupun tidak.

"Bagaimanapun tidak dinafikan ia agak banyak di perairan Selat Melaka yang turut melibatkan pantai Pulau Pinang.

“Ia kerana faktor air laut kita yang panas, mereka sukakan habitat sebegitu, bagaimanapun ikan porpoise dan lumba-lumba ini berbeza sedikit iaitu ikan lumba-lumba lebih jinak berbanding porpoise.

“Sebab itulah penduduk di sini selalu nampak ikan ini sama ada melalui Jambatan Pulau Pinang ataupun menaiki feri,” katanya.

Saiful berkata, terdapat beberapa faktor yang membolehkan ikan tersebut mati.

“Pertamanya ialah kualiti air laut yang mungkin tercemar, keduanya ialah mungkin terkena pukat tunda ataupun mungkin disebabkan faktor usia ataupun sakit.

“Tetapi tidak dinafikan pantai kita tidak lagi seperti dahulu, apa yang kita mampu lihat ialah spesies ini satu demi satu mati,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian pada Januari 2014 melaporkan seekor ikan porpoise ditemui mati oleh nelayan berhampiran Pulau Kendi. Terbaru pada Julai lalu, ikan lumba-lumba juga ditemui mati terdampar di Pulau Jerejak.

SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.