Gerakan Pulau Pinang hari ini meminta kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP memberi penjelasan kenapa ia tidak mewartakan Pulau Jerejak sebagai hutan simpan negara setelah mengambil alih pentadbiran negeri ini.
Pemangku ketua pemudanya, Jason Loo berkata pada 2009, anggota Exco negeri Phee Boon Poh meminta Pejabat Tanah mempercepatkan prosedur pewartaan dan ia dijangka selesai dilakukan dalam masa setahun.
Katanya, pada November 2014 dan Mei 2016, kerajaan negeri sekali lagi menyatakan bahawa Pulau Jerejak akan diwartakan sebagai zon hutan simpan kekal dan pulau itu tidak akan diserah kepada mana-mana pihak ketiga untuk dimajukan.
"Ke mana perginya semua janji itu? Mereka sepatutnya menyambung usaha kerajaan negeri sebelum ini untuk mewartakan pulau seluas 295 hektar itu mulai 9 Mac 9 2008 setelah mereka mengambil alih kerajaan negeri.
"Ketua Menteri (Lim Guan Eng) hanya perlu menurunkan tandatangan beliau, sebaliknya, mereka memberi bermacam-macam janji serta alasan pelik dan tidak jujur," katanya kepada pemberita di Jeti Pulau Jerejak di sini hari ini.
UDA Holding, dalam satu kenyataan pada 8 November, mengesahkan ia mengadakan usaha sama dengan Q Island Development mengenai projek itu, yang dijangka siap dalam masa lapan hingga 10 tahun. Bagaimanapun, jumlah kos yang telibat belum diputuskan.
Menurut UDA, pelan pembangunan semula pulau itu telah diluluskan kerajaan negeri. Lima hotel bertaraf empat bintang, 1,200 unit kediaman, sebuah marina, sebuah taman tema dan laluan basikal sepanjang 11.5km akan dibina di pulau berkenaan bagi memajukan lagi sektor pelancongan di negeri ini. - Bernama