BREAKING NEWS

Saturday, 26 November 2016

Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa Lulus Tambak Laut Senyap-senyap

Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa meluluskan penambahan tambakan sepanjang Gurney Drive tanpa diketahui umum, demikian dedah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Teng Chang Yeow.

Teng Chang Yeow  terkejut kawasan penambakan sepanjang Gurney Drive kini telah meningkat kepada 190 ekar, naik sebanyak 59 ekar.

Ujar Chang Yeow, setahun yang lalu, kawasan yang terlibat dinyatakan sebanyak 131 ekar sahaja.

“Bagaimana kerajaan negeri yang mendabik dada dengan prinsip CAT (cekap, akauntabiliti dan telus) itu secara senyap-senyap meluluskan tambahan 59 ekar,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan negeri itu berkata, jika bukan kerana didedahkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), rakyat Pulau Pinang tentunya masih tidak mengetahui mengenai tambahan 59 ekar itu.

Beliau merujuk kepada ucapan Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng ketika membahaskan Bajet 2017 Pulau Pinang, semalam.

Terdahulu, Hock Seng menjelaskan, kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya kos membina lebuh raya lapan lorong di sepanjang Gurney Drive itu yang akan membantu menyuraikan trafik yang berpunca daripada projek Sri Tanjung Pinang 2 (STP2) di Tanjung Tokong.

Anggaran kos projek itu adalah sekitar RM300 juta kepada RM400 juta, Dewan Undangan Negeri diberitahu.

“Pada masa ini, kerajaan negeri akan membiayai projek itu tetapi perbincangan mengenai aspek kewangan tersebut masih berjalan,” katanya.

Lebuh raya ini akan dihubungkan dengan cadangan jalan raya berpasang Tanjung Bungah-Teluk Bahang dan pintasan Gurney Drive-Tun Dr Lim Chong Eu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.