BREAKING NEWS

Tuesday, 22 November 2016

Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal cabar perintah menteri haramkan PPS


Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mendapatkan deklarasi untuk membatalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) sebuah organisasi haram.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata PPS adalah sebuah pertubuhan.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati bahawa PPS tidak berdaftar mengikut Seksyen 101 (b) (5) Akta Kerajaan Tempatan yang memerlukan sesebuah pertubuhan itu didaftarkan.

Beliau berkata, seksyen itu hendaklah dibaca bersama Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966 bahawa sesebuah pertubuhan perlu mendaftar di bawahnya.

"Jika sesebuah pertubuhan itu tidak berdaftar, semua aktiviti oleh organisasi berkenaan dianggap menyalahi undang-undang," kata hakim.

Hakim Hadhariah juga berkata mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan, menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mempunyai "budi bicara mutlak" mengenai perkara itu.

Beliau ambil maklum bahawa menteri membuat keputusannya berdasarkan bahawa PPS adalah sebuah pertubuhan, kumpulan beruniform dan mengamalkan sistem ranking, perlu didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan.

"Terdapat laporan polis yang dibuat terhadap kumpulan itu dan sesetengah ahlinya didapati mempunyai rekod jenayah," kata hakim.

Pada 27 Jan lalu, kerajaan DAP Pulau Pinang memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membatalkan perintah KDN yang mengisytiharkan PPS negeri ini sebagai sebuah pertubuhan haram.

Dalam permohonan itu, kerajaan negeri menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden dan antara lain memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan perintah yang dibuat Menteri Dalam Negeri pada 3 Nov 2014 yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966.

Kerajaan negeri itu turut memohon suatu perintah mandamus bagi mengarahkan responden mengembalikan semua jaket, peralatan, lambang, senjata atau sebarang dokumen kepunyaan PPS.

Kerajaan negeri juga memohon suatu deklarasi bahawa PPS telah ditubuhkan secara sah dan betul oleh kerajaan negeri menurut Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

 
Copyright © 2014 PenangKini.