BREAKING NEWS

Friday, 18 November 2016

kerajaan DAP Pulau Pinang Harus Mengkaji semula kelulusan kondominium Berhampiran kawasan bukit.


GEORGE TOWN, Seorang wakil rakyat DAP meminta kerajaan DAP Pulau Pinang agar mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada pemaju untuk membina kondominium mewah khususnya berhampiran kawasan bukit.

Yeoh Soon Hin (DAP-Paya Terubong) berkata rakyat sebenarnya tidak memerlukan begitu banyak kemajuan dan rancangan pembinaan projek kondominium mewah.

"Kerajaan Pulau Pinang perlu mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada pemaju untuk membina kondominium 60 tingkat di Pantai Tanjung Bungah.

"Ini kerana projek itu hanya semata-mata dilihat mengikut kehendak pemaju dan tidak banyak membawa faedah kepada penduduk setempat," katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri sebenarnya mempunyai isu besar lain membabitkan kepentingan rakyat yang perlu diselesaikan segera.

"Masalah ekonomi, kesesakan trafik serta banjir yang semakin serius perlu ditangani segera kerana melibatkan banyak kerosakan harta benda," kata Yeoh.

Mengenai dasar pembangunan, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya membuat pemantauan ketat dan semua projek pembangunan yang diluluskan harus mematuhi Rancangan Struktur Negeri.

"Sistem perparitan sedia ada harus dikaji semula tambahan pula mempunyai peruntukan besar sebanyak RM220 juta seperti diumumkan baru-baru ini," katanya.

bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.