BREAKING NEWS

Monday, 7 November 2016

Konvensyen DAP Pulau Pinang Hambar

PULAU PINANG 6 Nov. – Meskipun dianjurkan di kubu kuatnya, Konvensyen DAP negeri hari ini walau bagaimanapun berlangsung dalam keadaan hambar se­olah-olah tidak mendapat sam­butan ahli-ahlinya.

Keadaan itu lebih ketara ketika acara penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli veteran DAP apabila lebih separuh perwakilan memilih meninggalkan dewan persidangan walaupun Penasihat DAP, Lim Kit Siang sedang mene­rima anugerah yang disampaikan anaknya, Lim Guan Eng.
Suasana berkenaan menimbulkan persoalan memandangkan konvensyen serupa sebelum ini sentiasa mendapat sokongan dan komitmen tinggi daripada ahli-ahli DAP.

Berdasarkan maklumat, keti­ka sesi pagi hanya 328 daripada 1,027 perwakilan hadir dengan sebahagian besar mereka terdiri daripada ahli-ahli veteran.Walau bagaimanapun, jumlah perwakilan itu berkurang dengan sangat ketara pada sesi perbahasan apabila tidak sampai 50 ahli kekal berada di dalam dewan.

Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow dalam ucapannya secara terbuka mengakui kes rasuah yang dihadapi Guan Eng merupakan cabaran ter­besar yang dihadapi parti ber­kenaan sepanjang penubuhannya.Katanya, parti itu bersedia de­ngan sebarang kemungkinan dan berusaha untuk mengekalkan kua­sa DAP di negeri ini.

Bermula dengan 287 perwakilan yang mendaftar diri pada sesi pagi, hanya tinggal kira-kira 50 orang dalam dewan ketika sesi perbahasan.

“Dalam masa sama, DAP dan pakatan pembangkang perlu pan­tas bertindak balas terhadap senario politik yang cepat berubah,” katanya.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mening­katkan lagi ketegangan politik dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
Katanya, penubuhan parti berkenaan oleh Dr. Mahathir bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerana mereka kini bermusuh dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tetapi Barisan Nasional (BN) seolah-olah berjaya memulihkan pengaruh apabila mencatatkan kemenangan dalam Pilihan Raya Ne­geri Sarawak selain mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam pilihan raya kecil dan ini telah menambahkan keresahan politik kepada kita (pembangkang),” katanya.

Sementara itu, di sebalik rayuan DAP supaya Pas menyertai perhimpunan Bersih 5.0 perte­ngahan bulan ini, parti itu tetap menjadi sasaran kritikan Kon Yeow.
“Sikap Pas yang bergerak se­iring dengan UMNO dalam agenda Islam telah menyebabkan ketidaktentuan politik semasa dan kesannya turut dirasai pembangkang,” katanya.



 
Copyright © 2014 PenangKini.