BREAKING NEWS

Tuesday, 15 November 2016

Masalah pengemis 
kian serius di Pulau Pinang


Kerajaan DAP Pulau Pi­nang mengakui masalah pengemis dan kutu rayau semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh berkata, masalah berkenaan telah menjadi isu sosial yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, berdasarkan operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kutu rayau dan pengemis yang ditahan pada tahun ini me­nunjukkan peningkatan.

“Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak 432 individu telah ditahan dan di­selamatkan menerusi operasi yang dilancarkan JKM di seluruh ne­geri dengan paling ramai ditahan di Timur Laut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi mengesan kutu rayau dan pengemis di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Padang Kota dan Persiaran Gurney di sini semalam yang melibatkan JKM, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pe­ngu­atkuasaan JKM negeri, Nor Suyani Mohd. Noor berkata, dalam operasi lebih lapan jam bermula pukul 3 petang, pihak­nya menahan tujuh individu iaitu lima lelaki dan dua wanita termasuk seorang berketurunan Rohingya yang sedang mengemis di Padang Kota.

“Seorang lelaki pula diserahkan ke Hospital Pulau Pinang kerana menghidap penyakit tibi manakala selebihnya diberi perlindungan se­mentara sebelum dibawa ke mahkamah untuk menentukan tindakan lanjut.

“Mereka memberi pelbagai alasan termasuk sedang mencari kerja dan keluar bersiap-siar namun berdasarkan semakan, kebanyakan mereka mempunyai rekod pernah ditahan sebelum ini,” katanya.

Dalam operasi itu juga, seorang wanita warga emas berusia dalam lingkungan 60-an menjerit apabila enggan dibawa ke pusat perlindungan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.