BREAKING NEWS

Friday, 18 November 2016

Mengapa Kerajaan DAP Pulau Pinang Beri PDC Pinjaman Besar ?


Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP Pulau Pinang menjelaskan keperluan menyediakan peruntukan yang besar sebagai pinjaman kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di bawah bajet negeri 2017.

Bendaharinya Ng Fook On berkata, sebagai unit pelaburan kerajaan negeri, PDC mempunyai wang yang banyak untuk dibelanja dan membuat pelaburan, hasil penjualan tanahnya kepada sektor swasta.

Beliau mendakwa sejak 2011 hingga 2014, PDC telah memeterai perjanjian dengan sekurang-kurangnya empat syarikat berbeza dan mengaut untung lebih daripada RM2.5 bilion.

“Sebagai contoh pada 2011, PDC dilaporkan menjual 41.23 hektar (ha) tanah Bayan Mutiara kepada Ivory Properties bernilai RM1.07 bilion. Dalam satu urus niaga pada 2014 untuk satu projek mega lain, PDC menjual 190.2ha tanah Batu Kawan kepada Eco World bernilai RM1.02 bilion.

“Pada 2013, 16.19ha tanah Batu Kawan dilaporkan telah dijual kepada PE Land dengan jumlah RM65.34 juta dan pada 2014, 99.15ha tanah Batu Kawan dijual kepada Aspen Vision, yang mana 49 peratus pdimiliki Ivory Properties,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Semalam, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kenaikan mendadak peruntukan bajet negeri 2017 untuk Pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Negeri adalah kerana pinjaman itu diperuntukkan kepada PDC.

Guan Eng berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM609 juta pinjaman kepada PDC berbanding RM70 juta yang diperuntukkan tahun ini untuk menjadikan Seberang Perai sebagai pemacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang.

Menurut Bajet negeri Pulau Pinang 2017, sejumlah RM707.61 juta diperuntukkan untuk Pejabat Ketua Menteri, RM609 juta pula diperuntukkan sebagai pinjaman kepada PDC dan RM30 juta pula kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Fook On mempersoalkan mengapa kerajaan negeri perlu memberi pinjaman begitu besar kepada PDC sedangkan pada tahun-tahun sebelum ini purata pinjaman hanya sekitar RM5 hingga RM6 juta.

Katanya banyak pihak yang mempersoalkan berhubung peruntukan besar kepada Pejabat Ketua Menteri yang meningkat sehingga RM546.02 juta atau 337 peratus berbanding tahun ini.
 
Copyright © 2014 PenangKini.