BREAKING NEWS

Wednesday, 23 November 2016

PAC P.Pinang Dipersoal Tidak Masukkan Syor BN & PKR


Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri dipersoal selepas didakwa tidak memasukkan syor-syor dan rumusan daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan PKR dalam laporan jawatankuasa itu berhubung projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya.

Datuk Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, selain syor beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Aceh, Datuk Mahmud Zakaria yang mewakili BN tidak dimasukkan dalam laporan tersebut, syor wakil PKR iaitu ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin dan ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan juga menerima nasib sama.

Sebaliknya, kata beliau, hanya syor dibuat ADUN DAP Pulau Tikus, Yap Soo Huey yang dimasukkan dalam laporan akhir PAC yang dibentangkan kepada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sesi kali ini.

“Malah, saya difahamkan Penanti dan Batu Uban pada awalnya tidak mahu menandatangani laporan PAC berkenaan kerana tidak bersetuju dengan rumusan dan syor yang dibentangkan.

“Namun begitu, barangkali atas desakan parti, Penanti dan Batu Uban akhirnya terpaksa akur dan menandatangani laporan tersebut,” katanya dalam sidang DUN di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar sidang DUN, Dr. Norlela mengakui hanya sebahagian syor beliau dimasukkan PAC dalam laporan projek terowong dasar laut dan lebuh raya tersebut.

Menurutnya, beliau bagaimanapun ada berunding dengan Pengerusi PAC negeri supaya kesemua syor PKR diterima memandangkan rumusan itu dihantar secara bertulis dan mengikut prosedur.

Ditanya dakwaan Muhammad Farid beliau dipaksa menandatangani laporan PAC itu, Dr. Norlela enggan mengulas lanjut, sebaliknya hanya berkata, beliau dan Jayabalan akhirnya berbuat demikian.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini dikritik banyak pihak termasuk wakil rakyat DAP dan PKR sendiri selepas dua kali menangguhkan pembentangan laporan PAC projek terowong dasar laut dan lebuh raya dalam sidang DUN.
Mereka berpendapat, kegagalan itu merupakan sesuatu yang serius dan PAC perlu bertanggungjawab terhadap penduduk negeri ini apatah lagi kos projek tersebut terlalu tinggi iaitu mencecah RM6.3 bilion. - UO
 
Copyright © 2014 PenangKini.