BREAKING NEWS

Monday, 28 November 2016

Padah buat laporan palsu

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang tukang paip yang dipercayai melakukan pemalsuan cop Jabatan Imigresen dan memperdaya pekerja asing serta terlibat dengan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata,  pada 23 November lalu, lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Perai, kononnya dia dibelasah 10 lelaki di sebuah pusat hiburan di Perai.

Bagaimanapun katanya, hasil soal siasat mendapati terdapat keterangan yang mencurigakan menyebabkan lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Susulan tangkapan tersebut, pegawai penyiasat memeriksa rumah sewa suspek di Taman Gemilang Jaya dan menemui cop getah Imigresen Indonesia, Singapura, Filipina serta banyak lagi.

“Suspek mengakui membeli cop berkenaan daripada seorang lelaki di Johor beberapa tahun lalu dan memalsukan cop keluar masuk pekerja asing dengan mengenakan bayaran RM200 untuk sekali transaksi," katanya, semalam.

Tambah Nik Ros Azhan, kebanyakan pelanggan suspek terdiri daripada pekerja asing yang bekerja di pusat hiburan sekitar negeri ini.

Menurutnya lagi, ketika pemeriksaan dibuat di rumah lelaki berusia 32 tahun itu, polis turut menemui pelbagai jenis dadah antaranya eramin5, ketamin dan ratusan pil.

“Suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut. Kita masih menjalankan siasatan sama ada dia melakukan kegiatan itu bersendirian ataupun terdapat ahli sindiket yang lain.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemalsuan cop dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.