BREAKING NEWS

Tuesday, 29 November 2016

#PAU2016 UMNO, Parti Pemerintah Nombor Tiga Paling Lama di Dunia



KUALA LUMPUR – Sejarah telah membuktikan bahawa hanya tiga parti politik di dunia yang bertahan sebagai parti pemerintah, dan UMNO merupakan salah satu daripadanya, tegas Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut Bandahari UMNO itu, berdasarkan fakta berkenaan maka, UMNO akan terus relevan dan menjadi pilihan rakyat serta berupaya mengekalkan kemenangannya dalam  Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang akan datang.

“Inilah parti yang mampu mempertahankan rakyat. Inilah parti masa hadapan mereka. Hanya parti ini yang mampu mempertahankan bangsa Melayu dan Bumiputera.

“Jadi, jika ini perjuangan kita (UMNO) dan kita tidak lari dari perjuangan ini, maka UMNO akan kekal relevan dan tidak mustahil untuk memperoleh kemenangan yang besar dalam PRU akan datang,” ujarnya.

Salleh, berkata demikian selepas menyempurnakan upacara perasmian Konvensyen Penerangan Media 2016 pada Persidangan Agung UMNO (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC, Kuala Lumpur, di sini hari yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia turut mengingatkan semua bahawa UMNO perlu menjadi sebuah parti yang popular dan dinamik, atau secara amnya mengambil kira kebajikan serta citarasa rakyat.

“Tetapi yang penting kepada kita, jangan beri kesempatan kepada parti lawan walaupun sedikit ruang dalam perpecahan yang terdapat dalam negara kita.

“Perbezaan adalah perkara biasa, tapi apa yang penting kita (UMNO) tidak boleh berpecah belah. Kita harus pastikan sasaran kita adalah tepat.  Kalau kita tembak, mesti kena. Kekuatan kita adalah masyarakat luar bandar, sub urban. Kita harus pastikan mesej kita sampai kepada sasaran,” ujarnya.

Sementara itu, Salleh berkata, puak pembangkang tidak mempunyai semangat berpasukan seperti yang diterapkan dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO, malahan seringkali bertelagah sesame sendiri.

“Pihak lawan tiada pasukan. Mereka sendiri tidak tahu siapa bakal Perdana Menteri mereka, siapa bakal Timbalan Perdana Menteri mereka, malah di mana barisan kabinet bayangan mereka juga tiada.

“Di Malaysia, apa yang boleh dikatakan hanya dua parti utama yang mengetuai parti politik di negara, iaitu DAP yang mengetuai parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO. Jadi, masyarakat perlu memilih antara DAP dan UMNO,” tegasnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.